Ketetapan hakiki, jodoh, ajal dan maut di tangan tuhan. Kita sebagai hamba-Nya perlu menerima dengan hati yang terbuka kerana tiada siapa yang mampu menidakkan takdir Allah.
Terbaru tular tentang kisah seorang wanita Halimatus Saadiah Mustajap terbuka hati untuk menerima Muhamad Sharis Mohamad sebagai peneman hidupnya.
Sudah pun menjalinkan pertunangan pada 20 November lalu, Muhamad Sharis dikatakan merupakan rakan baik kepada suami Halimatus Saadiah iaitu Allahyarham Ibnor Hakim Mohd Sharif yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Januari tahun lalu.
Wanita yang menetap di Hulu Bernam, Tanjung Malim di Perak ini juga sama sekali tidak menyangka bahawa dia dipertemukan jodoh dengan rakan baik arwah suaminya yang difahamkan telah bersahabat daripada bangku sekolah lagi.
“Bukan mudah pada mulanya saya nak terima lelaki lain. Selepas arwah suami meninggal dunia, saya tak terfikir ke arah perkahwinan pun. Ramai yang cakap saya perlu cari pengganti kerana masih muda lagi. Tapi memang tak terbuka hati lagi.”
“Masa saya bawa Haddad jumpa Muhamad Sharis baru-baru ini sebab dia teringin nak jumpa anak saya, ketika itu tak ada perasaan apa pun terhadapnya.”
“Sebenarnya selepas arwah meninggal, dia ada menghulurkan salam perkenalan tapi saya tak terbuka hati lagi. Saya kata kalau dia sanggup tunggu, tunggulah saya.
“Dia lebihkan anak, bukan ibunya. Dari Haddad bayi lagi, dia jaga keperluan Haddad. Semakin lama bila tengok dia sentiasa lebihkan Haddad, dari situ saya terbuka hati,” ujar wanita berusia 26 tahun ini.
Dalam pada masa yang sama, anak tunggalnya juga sangat rapat dengan Muhamad Sharis sejak lahir lagi. Bukan itu sahaja, malah kisah anak tunggal dan tunangnya ini pernah ‘viral’ satu ketika dulu dek kerana keakraban mereka.
“Muhamad Sharis seorang bapa tunggal kepada dua anak… jadi sebab itulah dia pandai melayan anak kecil sehingga anak saya pun selesa dengannya,” ceritanya.
“Tak sangka berjodoh dengan dia. Sebelum terima Muhamad Sharis, saya pernah berkawan dengan lelaki bujang namun tidak lama… tidak semua boleh terima wanita yang ada anak.
“Saya berdoa moga Muhamad Sharis dapat menerima kami berdua sampai bila-bila,” kongsinya lagi
Video yang pernah tular satu ketika dulu:
Video yang tular baru-baru ini:
Wanita yang turut berkecimpung dalam dunia bisnes menjual pakaian secara online ini juga tidak menyangka sama sekali video kali ini tular buat kali kedua malah dia terharu kerana ramai dari kalangan masyarakat mendoakan kebahagiaan keluarga kecilnya itu.
“Terharu sangat-sangat… sampai tahap ini mereka mendoakan saya. Mungkin selepas video pertemuan Haddad dan Muhamad Sharis viral, ramai yang ikuti kisah kami. Terima kasih banyak-banyak kepada semua,” katanya lagi.”
Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 1 juta tontonan, 55.6K tanda suka, 3166 komen dan 1114 perongsian di laman TikTok.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen ‘sokong’ dengan keputusan wanita ini sekaligus mendoakan yang terbaik buat hubungan mereka berdua.
Berikut merupakan komen-komen daripada warga maya:
Untuk rekod, wanita ini dan arwah suaminya menanti hampir tiga tahun untuk dikurniakan zuriat dan doanya termakbul apabila disahkan hamil pada Ogos 2019.
Namun takdir di tangan tuhan dimana suaminya meninggal dunia dan pergi ke negara abadi kerana kemalangan motosikal di Kampung Bilal, Hulu Bernam pada Januari 2020.