Nama Noraniza Idris ini sememangnya cukup sinonim dengan lagu-lagu yang berentak irama Malaysia malah dia turut mendapat gelaran sebagai ‘Ratu Irama Malaysia’.
Noraniza Idris atau lebih mesra dipanggil Kak Ani juga telah banyak meraih kejayaan di anugerah-anugerah besar muzik tanah air. Sehingga kini, beliau masih memperjuangkan irama budaya.
Terbaharu, Kak Ani telah terlibat dengan acara mencipta rekod ‘Most Participations In A Irama Malaysia’ Performance bersama 565 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia serta turut dimeriahkan oleh kehadiran penyanyi Hazama.
Memetik sumber, penyanyi ini berjaya melakar sejarah baharu dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia yang diiktiraf dan disahkan oleh Yang Teramat Mulia, Dato’ Haji Mohammed Bin Haji Abdullah, Undang Luak Johor, Penaung Program CSR Pelancongan Seni dan Budaya “Malay World Cultural Paradise”.
Dalam pada itu, Kak Ani meluahkan rasa terharu kerana usaha yang diberikan tidak sia-sia malah dia turut mengharapkan acara tersebut dapat menjadi panduan buat pelapis-pelapis generasi baharu dalam bidang seni dan budaya.
“Syukur Alhamdulillah saya sangat teruja dan terkesima, seronok sangat. la tak sama kita menang anugerah, kita dapat pengiktirafan MBOR seolah-olah kita melahirkan sesuatu yang baharu buat generasi pelapis…”
“Jadi, bila mereka hadir untuk mengikuti program ini kita berjaya dan satu kepuasan buat saya,” katanya.
Ujar Kak Ani lagi, dia bersyukur kerana acara ini mendapat sokongan ramai pihak walaupun pada awalnya sudah hampir berputus asa dengan pelbagai cabaran sebelum menjelang acara tersebut.
“Hari ini menjadi hari bersejarah juga buat saya terutama bila dapat bawakan lagu Irama Malaysia dalam sebuah persembahan tradisional asas yang terdiri daripada peserta yang zero, tak tahu apa-apa dalam seni dan budaya…”
“Kita ajar dalam tempoh lapan hari. Kalau nak ikutkan, memang tak jadi tapi saat akhir dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) dan sekolah antarabangsa telah memberi kerjasama tinggi untuk menjayakan program ini…”
“Memang kalau ikutkan hampir nak gugur jantung, sedih, macam-macam cabaran dan dugaan, Alhamdulillah berkat doa dan kesabaran kita berjaya selesaikan pengiktirafan kali ini,” tambahnya.
Akhir kata, Kak Ani berharap agar acara in sentiasa dapat dilaksanakan secara berterusan untuk memupuk dan menyemai semangat patriotisme dalam jiwa anak-anak generasi pelapis ini.