Pasangan selebriti, Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29, mendedahkan bakal mengadakan tiga majlis resepsi bagi meraikan hari bahagia mereka.
Bagaimanapun, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen masih merahsiakan tarikh sebenar perkahwinan namun menyatakan majlis itu akan diadakan di sebuah pusat peranginan tanah tinggi.
“Kami akan adakan tiga majlis iaitu satu untuk keluarga dan rakan-rakan rapat memandangkan lokasi yang kami pilih itu kehadiran tetamu adalah terhad kepada 350 orang sahaja.
“Untuk majlis kedua, kami akan jemput rakan-rakan artis serta pihak media. Bagi acara ketiga, kami akan undang peminat Uqasha dan Kamal untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami.
“Setakat ini, alhamdulillah 80 peratus persiapan sudah diselesaikan dan kami mengharapkan doa yang baik-baik daripada anda semua,” kata Uqasha kepada kepada Gempak.
Uqasha dan Kamal ditemui usai siaran langsung untuk program MeleTOP di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli akui berasa teruja akan bergelar seorang suami tidak lama lagi.
Malah katanya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada kakak kepada aktres Nelydia untuk membuat pilihan bagi merealisasikan dream wedding yang diinginkan.
“Saya teruja dan dalam masa yang sama kena belajar (tanggungjawab seorang suami).
“Uqasha ada dream wedding dia sendiri dan saya ikutkan sahaja sebab percaya dengan semua pilihan yang dia buat.
“Apabila majlis dah nak dekat nanti kami akan beritahu bila tarikhnya dan tema majlis semua.
“Saya harap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik. Moga ketika itu SOP dah longgar sikit untuk kita semua merentas negeri,” katanya.
Sebelum ini, Uqasha telah dilamar oleh Kamal pada malam Anugerah MeleTOP Era (AME2020).
Terdahulu komen pengguna akaun @kamalxuqashafanclub di Instagram Uqasha Senrose menerusi hantaran foto dimuat naik.
Malah, beberapa hantaran foto lain termasuk video pendek memperlihatkan pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu mengenakan busana perkahwinan warna putih rekaan Shanell Harun lengkap dengan barangan kemas Habib Jewels bernilai lebih RM4 juta.
Ia sekali gus mengundang persoalan dalam kalangan peminat adakah Uqasha dan kekasihnya yang juga pelakon, Kamal Adli bakal berkahwin dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun Uqasha berkata, dia dipilih menjadi ‘muse’ bagi menggayakan koleksi pengantin rekaan pereka fesyen terkenal, Shanell Harun tahun ini.
“Saya berasa teruja dan terharu menjadi individu pertama yang menyarungkan koleksi mewah daripada Shanell Harun.
“Sejujurnya, saya selesa dengan potongan semua koleksi dan setiap perincian yang digunakan, bersesuaian dengan jiwa saya,” katanya.
Bakal mendirikan rumah tangga bersama Kamal, Uqasha turut memilih persalinan yang selesa dan serba sempurna pada hari bahagianya kelak.
“Saya percaya setiap bakal pengantin impikan sesuatu yang terbaik, termasuk persalinan yang bakal disarung nanti,” katanya.
Sementara itu, Shanell Harun yang sinonim dengan mementingkan ketelitian, kekemasan serta kesempurnaan dalam setiap rekaan, menyifatkan pemilihan Uqasha adalah yang terbaik.