Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 7.66 juta pengguna dapat manfaat Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan itu.
Menurut Dr Shamsul, seramai 4 juta pengguna domestik dengan penggunaan 300KWJ ke bawah nikmati elektrik secara percuma bagi April, Mei dan Jun 2020.
“Pengguna domestik guna elektrik lebih 300KWJ terima potongan RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun 2020.
“Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan akan disalur melalui bil elektrik bulan Julai 2020.
“Tenaga Nasional Berhad setuju menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September 2020,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan kos Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan berjumlah RM942 juta.
Menurutnya, kewujudan TNB selaku pembekal tunggal sumber tenaga di negara ini adalah langkah terbaik dan memudahkan kerajaan membuat kawal selia, berbanding membenarkan pelbagai pembekal.
Sementara itu, TNB pada sidang media sama turut mengulas mengenai bacaan meter bagi tempoh tiga bulan tersebut yang banyak menimbulkan kekeliruan orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya akur pembaca meter TNB tidak dapat bertugas seperti biasa dalam tempoh itu selaras dengan arahan kerajaan.