Terdahulu, filem tempatan Mat Kilau arahan Syamsul Yusof telah mencetus fenomena apabila meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta hanya dalam 40 hari tayangan sekaligus menjadikannya kutipan tertinggi di Malaysia.
Bukan itu sahaja, filem ini turut ditayangkan di aplikasi Netflix kerana sambutan dan maklum balas yang baik oleh orang ramai.
Baru-baru ini, pihak Studio Kembara mengesahkan bakal menerbitkan prekuel filem berikutnya selepas kejayaan naskah yang pertama.
Sehubungan dengan itu, penerbit Studio Kembara iaitu Abdul Rahman Mt Dali memaklumkan Syamsul Yusof serta dua pelakon utamanya Datuk Adi Pitra dan Beto Kusyairy tidak akan terlibat.
Memetik sumber, Abdul Rahman mengatakan watak yang dimainkan oleh Dato Adi Putra dan Beto Kusyairy tidak diperlukan kerana jalan cerita juga tidak membabitkan mereka. Sementara itu, pihak Studio Kembara menjelaskan ketiadaan Syamsul Yusof adalah kerana ingin memberikan peluang kepada pengarah baharu yang berbakat untuk berkarya.
“Yang saya yakin, sebahagian mereka akan kekal dalam prekuel. Itu saja yang boleh saya cakap. Ada beberapa pelakon yang pihak kami sudah ‘chop’ dengan pengeras tapi Adi Putra dan Beto tidak akan terlibat dalam prekuel tersebut kerana watak mereka masih belum diperlukan memandangkan jalan cerita juga tidak membabitkan mereka…”
“Untuk Syamsul pula, kami tiada masalah cuma kali ini kami bercadang untuk memberi peluang kepada pengarah lain untuk berkarya bersama Studio Kembara selain memeriahkan lagi industri,” katanya.
Dalam pada itu, penggambaran prekuel filem Mat Kilau 2 ini dijangka akan dijalankan sekitar hujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Walau bagaimanapun, Abdul Rahman menegaskan pihak mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelakon Adi Putra, Beto Kusyairy ataupun Syamul Yusof kerana hubungan masih dalam keadaan yang baik meskipun belum kesempatan untuk berjumpa.
“Pihak kami tiada masalah. Belum ada kesempatan untuk berjumpa sebab masing-masing sibuk. Lagipun, kami profesional, benda tak ada apa-apa, kenapa nak ada apa-apa. Kena ada kematangan melihat benda tu. Saya tak ada apa masalah dan mereka pun begitu. Bukan nak elak sebab ada masalah,” tambahnya lagi.