Beberapa hari lepas dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita PU Riz disahkan positif COVID-19.
Terbaru, pelakon Puteri Aishah pula menjadi artis kedua disahkan positif COVID-19 setelah pulang dari Scotland.
Berita duka itu disahkan sendiri oleh pengurusnya, Iman Tang menerusi akaun Instagramnya pada Selasa.
“Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh, Salam Maghrib. Dia baru disahkan positif COVID-19 sejam yang lepas. Tolong doakan dia supaya cepat sembuh,” tulis Iman.
Pulang dari Scotland
Menurut laporan Gempak, Puteri Aishah baru pulang daripada menjalani penggambaran drama bersiri di negara Scotland bersama pelakon popular Ben Amir dan juga Hasnul Rahmat.
Kesemua pelakon bersama beberapa kru penggambaran berangkat ke Scotland pada 15 Mac lalu dan pulang ke tanah air minggu lepas.
Peserta Dewi Remaja
Puteri Aishah atau nama sebenarnya Puteri Aishah binti Sulaiman dilahirkan pada 6 Jun 1994 dan merupakan seorang pelakon wanita Malaysia.
Kerjaya Aishah bermula selepas menjadi salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015 dan sejak itu, Aishah telah membintangi beberapa drama TV termasuk Akulah Balqis (2015), Kahwin Muda (2016), Cinta Roller Coaster (2016), dan Raisha (2017).
Filem sulung
Aishah memulakan kerjaya filemnya dengan membintangi filem sulungnya, Pulang arahan Kabir Bhatia, yang menggandingkannya bersama Remy Ishak.
Aishah memegang watak Che Thom. Filem ini ditayangkan pada 26 Julai 2018.
Aishah juga merupakan salah seorang dari barisan pelakon drama Selafaz Cinta yang dibintangi bersama oleh Saharul Ridzwan dan Syatilla Melvin di mana Aishah memegang watak sebagai Liza Liyana, seorang pramugari.
Aishah juga pernah memegang watak sebagai Anita dalam drama Tolong Aku Doktor Cinta, lakonan bersama Hafreez Adam dan Nina Iskandar.