Cuaca di Malaysia sememangnya tidak menentu, adakalanya hujan berhari-hari dan terkadang panas terik sampai berpeluh dibuatnya.
Jadi, ramai diantara kita yang memilih untuk memasang penghawa dingin di dalam rumah agar penghuni di dalam rumah lebih selesa.
Seperti yang kita tahu, kompresor penghawa dingin akan dipasang diluar rumah namun lain pula ceritanya dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang juruteknik memasang kompresor di dalam bilik tidur mencuri perhatian ramai.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Kampung Kedai Lama Rantau Panjang di Kelantan dan pada ketika itu ibu saudaranya tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Dapat kita lihat, alat untuk memindahkan haba dari dalam ke luar rumah dipasang secara ‘back to back’ dengan pendingin hawa yang diletakkan di ruang tamu.
Lelaki ini juga tidak tahu bagaimana juru teknik tersebut boleh melakukan kerja sedemikian kerana terlihat sangat tidak masuk akal dan tak pernah dibuat dek orang.
Memetik laporan mStar, Sufian Muhammad, 31, berkata, dia terkejut selepas melihat kompresor dipasang di dalam bilik tidur.
“Kebetulan saya ada buat kenduri kesyukuran untuk anak saya di situ. Saya rasa pelik sebab rumah tiba-tiba jadi panas sejuk… ingatkan ada makhluk halus.”
“Rasa gelisah juga masa tu. Tapi apabila isteri cakap ada kompresor dalam bilik, saya terus rasa bengang.”
“Lepas pergi tengok tu memang terkejut, terus marah pada makcik dan tanya siapa yang pasang. Tapi makcik tak mahu cakap sebab takut bergaduh,” ujarnya yang turut ketawa melihat keadaan tersebut.”
Menurutnya yang mesra disapa Pian, pendingin hawa itu dipasang hampir dua bulan di rumah ibu saudaranya.
Bercerita lanjut, Pian yang juga seorang juruteknik akui kesal kerana tidak dapat membantu ibu saudaranya lebih awal.
“Makcik ada suruh saya pasang aircond tu tapi tak dapat buat secepat yang dimintanya sebab saya ada job kat tempat lain.”
“Disebabkan itu, dia hubungi juruteknik aircond dari Rantau Panjang untuk buat pemasangan. Tapi jadi macam ni pula,” luahnya kesal.
Dikatakan, ibu saudaranya itu mengenali juruteknik penghawa dingin tersebut secara peribadi namun tetap mendapatkan khidmatnya selepas disyorkan rakan-rakan.
Katanya, rumah tersebut adalah milik arwah ibunya yang baru sahaja meninggal dunia.
Bagi mengelakkan rumah tersebut kosong, dia mengambil keputusan untuk pindah masuk ke situ.
“Pada awalnya memang saya tak tahu apa-apa sama ada dia pasang salah atau betul… cuma rasa pelik sebab aircond tidak berfungsi. Tukang pasang tu datang dengan menunggang motosikal.”
“Saya hubungi tukang tu, tapi dia cakap gas habis dan kena beli sendiri di kedai. Tapi apabila saya pergi kedai aircond di Pasir Mas, pekerja tu pelik sebab mereka tak jual gas secara liter seperti yang dikatakan tukang itu.”
“Jadi mereka cakap nak datang rumah dan tengok sendiri sebelum mengeluarkan sebut harga untuk dibeli,” ceritanya.
“Mereka tolong betulkan, akhirnya gas tidak dibeli dan pekerja kedai tu pun tolak untuk dibayar upah. Aircond pun boleh digunakan cuma kadang-kadang rasa bahang,” luahnya yang mengeluarkan kos lebih RM300 bagi servis pemasangan.”
Tambahnya lagi, dia turut dimaklumkan perlu menambah sejumlah RM200 hingga RM300 jika mahu mengubah kompresor tersebut ke luar rumah.
Video yang tular: