Dua juruterbang dan dua penumpang dikompaun setelah pesawat ringan yang mereka naiki mendarat di Lapangan Terbang Kampung Tekek di Pulau Tioman kerana tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan negeri.
Menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata keempat-empat individu termasuk seorang wanita telah berlepas dari Lapangan Terbang Subang, Selangor dan mendarat di Lapangan Terbang Kg. Tekek Pulau Tioman pada kira-kira jam 3 petang.
“Selain juruterbang persendirian itu, kapal terbang tersebut dinaiki oleh pengurus keselamatan dan pengurus pemasaran sebuah perniagaan akitivti menyelam di sebuah resort di Kampung Juara, Pulau Tioman.
“Mereka didapati tidak mempunyai surat kebenaran merentas sempadan negeri daripada polis mahupun surat majikan atau bekerja dalam sektor keperluan asas, yang merupakan keperluan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azari, kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana keluar dari kawasan yang diisytiharkan PKPB tanpa kebenaran.
Beliau berkata mereka juga bersetuju untuk pulang ke Lapangan Terbang Subang pagi esok kerana juruterbang persendirian itu mendakwa tidak mempunyai kebenaran menerbangkan pesawat pada waktu malam.
“Untuk malam ini, pihak Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan gelang kuarantin kepada empat individu itu selain akan dipantau oleh pasukan pemantauan sehingga mereka bertolak pulang esok,” katanya.
Terdahulu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mula dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober berikutan peningkatan kes COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, ia juga mengambil kira peningkatan dan penularan kes yang berlaku, termasuk di Klang dan Petaling, selain pertambahan jangkitan di Gombak serta daerah lain.