Far From Home adalah sambungan dari apa yang terjadi selepas Avengers: Endgame. Filem ini dimulakan dengan paparan video oleh pelajar Midtown High School iaitu tempat Peter Parker bersekolah, bagaimana yang dunia ini masih meratapi pemergian Avengers seperti Captain America, Black Widow, Vision dan terutama sekali Tony Stark iaitu Iron Man.
Video itu juga menerangkan apa yang terjadi kepada manusia yang hilang lima tahun lepas (dan kembali semula) dan manusia yang tinggal selepas Thanos memetik jarinya.
Oh, dalam filem ini, The Decimation (Thanos’s snap) telah diubah nama kepada The Blip. Mungkin untuk kedengaran lebih mesra kot.
Spiderman cuba mengikut langkah Iron Man
Sinopsis Spiderman: Far From Home
Peter Parker (Tom Holland) yang telah berjaya menumpaskan ancaman dari Thanos bersama dengan Avengers sebelum ini kembali meneruskan hidupnya selepas kematian mentornya iaitu Tony Stark.
Kini, Peter ingin berehat sebentar dari menjadi Spiderman dan mengikuti rombongan sekolah ke Eropah bersama rakan – rakannya Ned (Jacob Batalon), MJ (Zendaya), dan lain – lain.
Peter juga menggunakan kesempatan dari percutian ini untuk meluahkan perasaannya kepada MJ.
Malangnya, ketika mereka tiba di Venice, Venice telah diserang oleh salah satu dari Elementals.
Peter perlu menyelamatkan rakan – rakannya dan ketika itu muncul seorang adiwira dan menewaskan Elementals tersebut.
Sekembalinya ke hotel penginapan mereka, Nick Fury (Samuel L Jackson) muncul dan memberitahu Peter tentang ancaman Elementals dan meminta bantuan Peter sebagai Spiderman.
Dari situ, Peter telah dibawa ke markas rahsia dan bertemu semula dengan adiwira misteri yang memperkenalkan dirinya sebagai Quentin Beck (Jake Gyllenhaal) yang datang dari universe yang lain.
Fury telah meminta Peter untuk menggantikan tempat Iron Man sebagai penyelamat dunia dan bekerja bersama Quentin Beck aka Mysterio menentang ancaman yang baru ini.
Bagi kami, plot cerita ini lebih kepada menunjukkan konflik dalam diri Peter itu sendiri. Semasa dalam filem Homecoming, Peter berusaha menunjukkan kepada Tony yang dia mampu menggalas tugas sebagai seorang adiwira namun dalam Far From Home, Peter bergelut dengan bagaimana dia perlu menggantikan tempat mentornya sebagai penyelamat dunia selepas kematian Tony.
Filem marvel memang terkenal dengan kesan – kesan khas mereka. Kami cukup suka babak CGI ketika Spiderman bertarung menentang villain ketika pertengahan filem ini.
Banyak dialog dan adegan jenaka yang mampu membuat anda tertawa dan kami suka babak romantis antara Peter dan MJ kerana ia tidak terlalu menonjol hingga menganggu penceritaan.
perbezaan antara Mysterio versi komik dan filem
Bagi peminat Spiderman, pasti anda tahu bahawa Mysterio merupakan salah satu musuh ketat Spiderman tapi bagaimana dalam kesemua trailer yang dipaparkan menunjukkan Mysterio merupakan seorang superhero yang baik.
Di dalam komik, Mysterio ialah villain yang tidak memiliki kebolehan luar biasa tetapi dia seorang pakar alat kesan khas dan ilusi dan seorang stuntman. Ini membuatkan anda perlu menonton filem ini bagi mengetahui peranan Mysterio dalam MCU.
Kekuatan character
Bagi kami kekuatan cerita ini terletak kepada Jake Gyllenhaal yang memegang watak Mysterio.
Tak dinafikan beliau merupakan seorang pelakon yang berpengalaman, dan sekali lagi dalam filem ini, beliau tidak mengecewakan.
Kami berharap beliau akan kembali semula sebagai Mysterio.
Sedikit kekecewaan
Ya, kami tahu ini cerita Spiderman dan spotlight perlu dipancarkan kepadanya namun ketiadaan seorang pun ahli Avengers yang lain agak sedikit mengecewakan.
Memang kita tahu beberapa watak seperti Thor dan Captain Marvel telah meninggalkan bumi tetapi watak seperti War Machine yang masih di bumi dan Falcon yang telah menggantikan Captain America mungkin boleh membuat cameo terutama bagi babak petempuran terakhir dalam filem ini.
Jadi, berbaloi ke tengok filem ni?
Keseluruhannya, ini adalah filem yang patut ditonton peminat Marvel. Ia sebuah filem yang menarik dan pacing filem ini tidak membuatkan anda bosan.
Bagi kami, Ia lebih kepada penutup bagi Phase 3 MCU ataupun epilog untuk Infinity Saga.
Kami sarankan anda tunggu untuk babak mid dan post kredit walaupun anda ingin terkencing selepas 2 jam 9 minit menonton filem ini kerana terdapat kemunculan cameo yang dinanti nanti dalam mid kredit.
Boleh dikata, ini momen yang paling mengujakan dan membuatkan kami seperti ingin melompat sepanjang kami menonton filem ini.
Rating YOY: 8/10