Filem remake IT pada tahun 2017 berjaya mencipta fenomena dan memecah carta box office. Watak seekor makhluk yang menyerupai badut bernama Pennywise yang begitu menakutkan, membuat orang ramai fobia terhadap badut.
Bagaimanapun, dalam filem itu, Pennywise berjaya ditumpaskan oleh sekumpulan kanak-kanak yang menggelarkan kumpulan mereka The Loser Club. Mereka kemudiannya berjanji akan pulang ke pekan Derry jika makhluk durjana itu kembali menghantui dan mengganas semula.
IT: Chapter Two menyambung kisah dari filem 2017 tersebut. Kini setelah 27 tahun, The Loser Club yang dianggotai oleh Bill (James McAvoy), Ben (Jay Ryan), Beverly (Jessica Chastain), Richie (Bill Hader), dan Eddie (James Ransone) pulang semula ke Derry setelah mendapat panggilan telefon daripada Mike (Isaiah Mustafa) yang menyedari kemunculan semula Pennywise (Bill Skarsgård). Hanya Stan (Andy Bean) yang tidak pulang ke Derry kerana dia ada perkara yang perlu ‘diuruskan’.
(sumber Warner Bros)
Walaubagaimanapun, kesemua mereka tidak tahu tujuan sebenar mengapa Mike mengajak mereka pulang kerana bagai suatu sumpahan, mereka tidak mengingati apa yang pernah terjadi sebelum ini. Hanya Mike yang tidak pernah keluar dari pekan Derry kekal dengan memori pahit akibat kekejaman Pennywise.
Setelah diterangkan oleh Mike, barulah ingatan mereka mula kembali sedikit demi sedikit. Dan kini, mereka perlu berpegang pada janji untuk membunuh Pennywise buat selamanya.
IT: Chapter Two kini dibarisi oleh nama-nama besar Hollywood seperti James McAvoy dan Jessica Chastain. Ini menambah lagi kualiti pada filem ini di samping sinematografi yang menarik.
Yang menariknya, jika dilihat muka pelakon bagi watak dewasa dan watak kanak-kanak adalah hampir sama. Sehingga watak Ben yang dahulunya gemuk juga kelihatan seiras dengan watak dewasanya yang kini lebih kurus dan sasa.
Bukan sahaja itu, pelakon dewasa ini berjaya menyambung karakter yang dibawa oleh pelakon kanak-kanak dengan baik sekali. James McAvoy contohnya berjaya membawa watak Bill yang gagap seperti mana karakternya semasa kecil.
(sumber Warner Bros)
Tidak hanya seram dan adegan makan orang, terdapat banyak humor dalam filem ini terutamanya pada watak Richie dan Eddie. Ya, humor-humor ini memang kelakar dan berjaya membuat kami ketawa. Namun kami rasakan kebanyakan lawak ini tidak kena tempat dan waktunya. Bayangkan ketika Pennywise mengejar mereka dengan giginya yang dah macam ikan pirana, Richie dan Eddie masih boleh membuat lawak. Ini sedikit sebanyak memadamkan elemen seram tersebut.
Filem ini berdurasi sepanjang 2 jam 50 minit. Hampir sama panjang dengan filem Avengers: Endgame. Durasi ini kami rasakan terlalu panjang untuk sebuah filem seram. Kami tidaklah berasa bosan sepanjang menontonnya namun ianya agak meleret. Banyak babak flashback dari filem terdahulu digunakan terutama ketika ahli Loser Club ini cuba mengingati semula apa yang terjadi sebelum mereka meninggalkan Derry. Dengan durasi yang agak panjang ini, kami sebenarnya berharap agar asul usul Pennywise diterang dengan lebih mendalam namun hanya sedikit sahaja yang diceritakan. Mungkin pengarah, Andy Muschietti ingin imaginasi penonton sendiri yang menentukan kot siapa badut ini.
IT: Chapter Two juga agak kurang menakutkan berbanding filem terdahulu. Masih mengekalkan tema seram yang ganas dan berdarah. Tetapi untuk filem ini, babak jumpscare digunakan dengan agak berlebihan. Seperti dalam filem IT, Pennywise menggunakan ketakutan dalam diri mangsanya sebelum membaham mereka. Ini menimbulkan rasa takut dari sudut psikologi bukan sahaja kepada mangsanya, juga kepada penonton.
IT: Chapter Two mungkin tidak mencapai kehebatan IT disebalik hype dan harapan yang terbina sejak 2017. Namun ia masih sebuah filem yang perlu ditonton tahun ini. Filem ini memberi konklusi kepada saga Loser Club dan Pennywise. Bagi yang belum pernah menonton IT, kami cadangkan anda berbuat demikian sebelum menonton sekuel ini.