Filem The Angry Birds Movie (2016) bukanlah sebuah filem yang menarik namun berjaya meraih kutipan sebanyak $352.3 juta dollar. Jadi dalam fikiran kami mungkin itu tujuan Sony menghasilkan sekuel filem ini walaupun pada tahun 2019, permainan Angry Bird bukanlah segah seperti dulu lagi. Rata-rata lebih suka PUBG dan Fortnite.
Berita baiknya, filem ini lebih baik dari filem asalnya. Tidak banyak pembaharuan tetapi cukup membuat kita terhibur.
The Angry Birds Movie 2 menyambung kisah Red (Jason Sudeikis) yang diangkat sebagai hero setelah menyelamatkan Pulau Burung dari serangan babi dari Pulau Babi (simple betul nama dia). Pulau Burung dan Pulau Babi masih lagi berperang tapi hanya sekadar dalam bentuk berbalas prank dan usikan sahaja. Suatu hari, ketua Pulau Babi, Leonard (Bill Hader) mengajak untuk berdamai dan bersatu untuk menentang sebuah ancaman baru iaitu serangan dari sebuah pulau misteri yang didiami puak helang.
(sumber Sony Pictures)
Pulau Helang yang diketuai oleh seekor helang berwarna ungu bernama Zeta (Leslie Jones), melancarkan serangan bebola ais ke arah Pulau Burung dan Pulau Babi dengan harapan dapat menghalau penduduk pulau dan seterusnya merampas kedua-dua pulau tersebut. In kerana dia mula bosan hidup di Pulau Helang yang diselaputi salji dan ingin tinggal di bawah pancaran matahari pula.
Red yang pada awalnya skeptikal dengan rancangan Leonard, terus bersetuju kerana berharap dia akan terus dianggap sebagai hero oleh penduduk pulaunya. Dia kemudian terus mengumpul pasukannya terdiri dari Chuck (Josh Gad), Bomb (Danny McBride), Mighty Eagle (Peter Dinklage), dan seekor watak baru, Silver (Rachel Bloom) seekor burung yang genius dan merupakan adik kepada Chuck. Leonard juga menghantar wakil dari pihak babi iaitu Courtney (Awkwafina) dan Garry (Sterling K. Brown).
(sumber Sony Pictures)
Maka berangkatlah pakatan ini menuju ke Pulau Helang untuk menghancurkan superweapon disana bagi menghentikan serangan bebola ais sekaligus menyelamatkan pulau masing-masing
Masih mengekalkan formula yang sama seperti filem terdahulu dimana komedinya lebih tertumpu kepada kanak-kanak. Jenakanya lebih baik berbanding filem pertama. Namun begitu, ia tidak menyelitkan babak beremosi yang berat seperti dalam animasi Pixar.
Filem ini juga banyak menggunakan lagu-lagu popular sebagai muzik latar. Filem animasi melibatkan haiwan biasanya tidak terlepas dengan adegan tarian yang comel. Sama seperti filem ini. Ada babak dimana Bomb bersama dengan helang menari dan menyanyi lagu Baby Shark Doo Doo.
(sumber Sony Pictures)
Memandangkan ini adalah adaptasi dari permainan video, masih terdapat lagi elemen dari permainan video Angry Bird seperti lastik dan kuasa dari karekter seperti Bomb yang boleh meletupkan diri dan Chuck yang mempunyai kelajuan luarbiasa.
Terdapat subplot dalam filem yang tertumpu kepada tiga ekor burung kecil yang comel. Telatah yang cilik disertakan dengan kecomelan pelat mereka bersuara. Bonus tambahan yang menghiburkan untuk filem ini.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, ia masih sebuah filem yang menghiburkan walau tiada apa yang istimewa jika dibandingkan dengan filem animasi yang lain.
Ironinya, ini adalah sebuah filem yang sesuai di bulan kemerdekaan kita. Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu walaupun ini hanya cerita mengenai perpaduan burung dan babi yang berlainan spesis.