Wira mengisahkan tentang Hassan, seorang Komando bersara yang pulang ke tempat asalnya untuk membawa adik perempuannya, Zain (Fify Azmi) dan bapanya, Munas (Hilal Azman) keluar dari Flat Raja Merah, rumah di mana mereka tinggal. Flat Raja Merah, sebuah flat yang keadaannya begitu daif dan digambarkan seperti flat di dalam filem The Raid.
Kawasan perumahan ini pula dikuasai oleh Raja (Dain Said) dan penghuni flat ini bekerja seperti hamba di kilang kondom milik Raja namun mereka seperti tiada pilihan untuk keluar. Di sebalik kilang kondom, Raja juga menjalankan aktiviti pertarungan haram seperti MMA dan menghasilkan dadah. Raja bukanlah samseng biasa. Bukan sahaja namanya Raja, dia juga berperwatakan seperti raja. Tiada polis berani menyentuhnya.
Hassan berusaha memujuk ayah dan adiknya keluar dari flat itu. Mereka berkeras untuk terus tinggal kerana mereka berhutang dengan Raja. Hassan yang dahulunya pernah bekerja di bawah Raja, pergi bertemunya untuk melangsaikan hutang keluarganya. Namun ia tidak semudah itu. Raja tidak mahu mereka pergi begitu sahaja dan memerintahkan mereka bertanding dengan anak-anaknya.
Wira adalah sebuah filem aksi yang hebat. Ia tidaklah sehebat John Wick, The Raid mahupun The Night Comes To Us, namun kami boleh katakan ini adalah filem aksi pertarungan yang terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia. Ia tidak menghairankan kerana aksi pertarungan ini diarahkan oleh Yayan Ruhian, pelakon aksi dari Indonesia yang terkenal dengan sebagai Mad Dog dalam filem The Raid. Koreografi pertarungan penuh dengan babak – babak yang memukau. Pertarungan akhir antara Hassan dan watak lakonan Yayan Ruhian iaitu Ifrit selaku orang kanan Raja, sangat dinantikan dan mereka berjaya menyajikan pertarungan yang mantap dan memukau.
Walau bagaimanapun, kami agak kurang puas kerana aksinya kurang ‘ganas’. Aksinya hebat tetapi keganasannya seperti dihadkan. Tiada babak anggota badan dilipat-lipat dan disiat seperti The Raid. Jika ada pun, ia seakan berlaku off-screen. Bunyinya agak psiko tapi kami perlukan lebih banyak darah.
Nuff said, kalau anda datang dengan expectation untuk menonton sebuah filem aksi, anda tidak akan kecewa.
Namun jika datang untuk penceritaan dan plot, anda akan sedikit kecewa kerana disinilah kelemahan Wira. Plotnya simple sahaja dan penceritaan ketika tiada aksi pertarungan agak membosankan. Drama dalam filem ini agak meleret dan merencatkan perjalanan filem ini.
Terdapat beberapa babak yang agak cringe (kami tidak mahu spoilkan untuk anda). Pelakon tambahan kelihatan agak kayu. Watak Hassan juga ada cuba membuat lawak namun agak ‘krik-krik’.
Pun begitu, pujian harus diberikan kepada Fify Azmi dan Dain Said atas lakonan mereka yang berkesan. Watak Fify Azmi sangat badass dan caranya berlawan sangat meyakinkan. Dain Said (ini pertama kali rasanya beliau berlakon watak utama) pula berjaya membawa watak villian yang berkesan. Raja bukanlah villian yang kompleks tetapi menakutkan.
Secara keseluruhannya, wira sebuah filem yang baik. Ia berjaya sebagai sebuah filem aksi tetapi penceritaannya mencacatkan sedikit perjalanan filem ini. Kami masih mencadangkan untuk anda pergi menonton filem ini. Dan jika momentum ini dikekalkan dari filem Paskal dan kini Wira, kami pasti akan menantikan naskah seterusnya dari pengarah Adrian Teh.
P/S: Filem ini ada mid scene kredit. But it’s kinda cringy tho..