Lumrah kehidupan, taraf pendidikan dan pekerjaan sering kali menjadi kayu ukur buat segala-galanya.
Turut terkan tempias, seorang rider ini terpaksa berkongsikan sijil-sijilnya bagi menutup mulut orang yang merendahkan pekerjaannya sebagai penghantar makanan.
Difahamkan, pada awalnya dia membuat video yang merakamkan dirinya basah lencun dek hujan.
“Bukan senang nak senang, bila part susah ni kita kena bersabarlah kan,” katanya di dalam video tersebut.
Namun, niat pemuda itu berkongsi pengalaman disalah erti apabila tindakannya merakamkan diri ketika hujan itu disifatkan sekadar meraih simpati.
“Itulah dulu orang belajar, main-main. Bila susah, nak raih simpati pula,” kata warga netizen sehingga dia terpanggil untuk mendedahkan pencapaiannya.
Memetik laporan mStar, rider tersebut yang dikenali sebagai Muhammad Norazmaly Abdul Malek,26, memberitahu, dia mula bekerja sebagai penghantar makanan sejak Disember tahun lalu.
Berkongsi sedikit tentang dirinya, dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat Terbang (Mekanikal) di Universiti Kuala Lumpur – Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL MIAT) di Sepang, Selangor, pada Julai tahun lalu.
“Habis belajar saya tolong keluarga saya mengusahakan bisnes secara kecil-kecilan. Ayah berniaga warung burger, manakala mak jual rojak.”
“Saya kemudian buat keputusan untuk buat Grab hantar makanan sebab saya nak dapatkan duit secara fleksibel, tapi pada masa sama masih tolong mak ayah,” katanya ketika dihubungi.
Akui dia bukan dari keluarga yang senang, namun pemuda ini tetap bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang sederhana.
“Jadi video itu saya nak nyatakan bahawa susah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Famili susah, tak semestinya selama-lamanya susah.”
“Mereka yang memang dilahirkan dalam keluarga senang itu memang tak boleh disangkal. Tapi bagi famili susah, kena berusaha untuk berubah,” katanya.
Walaupun dikritik, anak sulung daripada empat beradik itu bagaimanapun tidak terasa hati, sebaliknya mahu memberi penjelasan mengenai tanggapan segelintir masyarakat.
“Orang yang menganggur bukan bermakna dia tidak berpelajaran. Cumanya mereka belum mendapat tawaran kerja yang bersesuaian dengan pendidikan mereka, belum ada rezeki.”
“Lagipun tak salah kerja hantar makanan, kerja halal juga. Ada je orang yang ada Master (Ijazah Sarjana) dan PhD (Ijazah Doktor Falsafah) jadi rider hantar makanan, isi masa lapang.”
“Mereka tak sombong bila berada di atas, kerana tahu bagaimana struggle orang yang berada di bawah,” kata Norazmaly yang sebelum itu menyambung pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat Terbang, juga di UniKL MIAT.
Penerima Anugerah Imam Muda 2013 di sekolah menengah dan menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar di UniKL MIAT 2019-2020 ini bercita-cita untuk menjadi jurutera pesawat atau pensyarah.
“Selepas habis belajar tahun lepas, saya ada mohon kerja menggunakan degree yang saya ada. Setakat ini sudah 15 interview saya hadiri secara online kerana pandemik Covid-19.”
“Tiga interview ‘tak diterima’, manakala lain-lain tiada jawapan. Bagaimanapun, saya akan terus mencuba dan mohon kerja kerana ia merupakan salah satu proses untuk berjaya.”
“Siapa pun kita, jangan pandang rendah terhadap orang lain kerana kita tak tahu kesusahan yang mereka alami.
“Kalau kita tak nak support mereka atau doakan yang terbaik, jangan cuba jatuhkan mereka,” katanya.
Video yang tular baru-baru ini: