Sikap sesetengah pengguna jalan raya kadang kala memang menjengkelkan sehingga membuatkan kita yang melihatnya menggelengkan kepala.
Bukan itu sahaja, kita sebagai pengguna jalan raya turut sakit hati melihat kecuaian mereka sendiri yang boleh membahayakan keselamatan orang lain.
Semalam, terdapat satu laporan di mana seorang penunggang motosikal berusia 35 tahun ditahan polis semalam gara-gara merosakkan cermin sisi sebuah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu ditahan pada jam 10.15 malam kelmarin.
Menurut siasatan, suspek yang menunggang motosikal Yamaha LC dan pemandu BMW X3 bertengkar di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada jam 8.30 pagi Rabu.
Arkitek berusia 45 tahun memandu di laluan itu sebelum didatangi suspek yang membunyikan hon dan berhenti di sebelah kenderaan mangsa lalu memarahinya kerana menukar laluan tanpa memberi lampu isyarat.
Mangsa kemudian keluar untuk berbincang dengan suspek namun suspek cuba menutup pintu kereta mangsa dengan kasar dan enggan memberi kerjasama.
Mangsa mendakwa suspek masih tidak berpuas hati dengannya dan mahu bergaduh sebelum masing-masing beredar.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa dia ternampak suspek menunggang dengan laju melalui cermin pandang belakang dan suspek bertindak menendang serta menumbuk cermin sisi kenderaannya sehingga pecah sebelum melarikan diri.
Mangsa membuat laporan polis dan polis berjaya menahan suspek serta merampas motosikal bersama pakaian yang digunakannya pada waktu kejadian.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat salah faham semasa mangsa mengubah laluan tanpa memberi lampu isyarat. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.