Betul kata orang tua dulu-dulu, berbudi pada tanah pasti membuahkan hasil! Itulah yang dikecapi oleh seorang usahawan di Pahang.
Mengusahakan buah-buahan tempatan di dalam kebun seluas kira-kira 80.94 hektar di Kuala Krau, Pahang membuahkan hasil apabila berjaya menjana pendapatan amat lumayan, lapor HMetro.
Di antara buah-buahan yang diusahakan adalah seperti durian, belimbing, tembikai, betik dan manggis.
Malah menurut usahawan Chin Ken Soon, hasil buah-buahan ini turut dieksport ke luar negara seperti di negara Eropah dan juga Asia.
Menurut Chin, buah belimbing dan betik adalah buah paling banyak dijual ke luar negara seperti China, Arab Saudi dan beberapa negara Eropah seperti Poland serta Belanda.
Malah menurutnya ia mampu memberikan pulangan yang lumayan dengan memberikan pendapatan sebanyak RM8 juta sebulan!
Manakala untuk buah durian jenis Musang King, Udang Merah, D24, Teka serta durian kampung adalah untuk pasaran tempatan yang boleh mendatangkan hasil sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta sebulan.
Tambahnya lagi, jika mengikut permintaan pasaran, jumlah keluaran buah-buahan di kebunnya masih tidak mencukupi.
Chin terpaksa mendapatkan bekalan daripada pengusaha lain untuk menampung permintaan yang tinggi.
Untuk eksport ke negara China, Arab Saudi dan beberapa negara lain, Chin memerlukan sekurang-kurangnya 100 tan atau lapan kontena buah sebulan untuk sesebuah negara.
Permintaan buah-buahan ini meningkat apabila tiba bulan September hingga Oktober setiap tahun di negara Eropah.