Warga Bangladesh yang diusir keluar dari Malaysia, Rayhan Kabir meluahkan perasaan kepada media di negara kelahirannya itu selepas mencetuskan kontoversi menerusi sebuah dokumentari.
Di dalam temuramah bersama Dhaka Tribune itu, Rayhan berkata dia mempunyai segalanya sebelum ini namun semuanya ‘hilang’ selepas muncul dalam dokumentari ‘Locked Up In Malaysia Lockdown’ terbitan media antarabangsa, Al Jazeera.
Rumah cantik, kerja bagus
Menurutnya, dia memiliki rumah yang cantik dengan pekerjaan yang sangat bagus semasa di Malaysia.
“Saya punyai segalanya, rumah yang cantik, kereta, pekerjaan yang bagus dan kewangan yang stabil. Namun semuanya berakhir selepas saya muncul dalam dokumentari itu,” katanya.
Tiada wakil Aljazeera menghubunginya
Malah, Rayhan turut menjelaskan, sejak ditangkap sehingga dihantar pulang tiada langsung wakil Al Jazeera yang menghubunginya.
Semasa ditemuramah media terbabit, Rayhan mendakwa dirinya tidak menyangka bercakap tentang ‘kebenaran’ akan mendatangkan musibah kepada dirinya.
“Saya nekad tidak memakai penutup muka kerana bercakap tentang sesuatu yang benar. Bercakap mewakili masyarakat bukanlah perkara asing dalam hidup saya kerana pernah berbuat demikian beberapa kali sebelum ini,” katanya.
Mahu belajar undang-undang
Dalam pada itu, Rayhan berkata ia menjadikan pengalaman tersebut sebagai pengajaran dan mahu meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang Pendatang Asing (Migration Law).
Menurutnya lagi, dia membuat keputusan nekad tersebut demi memperjuangkan hak pekerja migran.
Beberapa bulan lepas, bekas pekerja imigran di Malaysia ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat Malaysia apabila dia memburukkan ‘frontliners’ dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Rayhan kemudiaanya dihantar pulang ke kampung halamannya Bangladesh pada 22 Ogos lalu tanpa sebarang pendakwaan oleh kerajaan Malaysia.
Rata-rata rakyat Malaysia berpuas hati dengan tindakan tersebut dan mengharapkan ia menjadi pengajaran buat imigran yang lain.