Hari konvokesyen merupakan hari yang paling dinantikan oleh setiap graduan selepas menamatkan pembelajaran mereka.
Dan sudah tentulah momen berharga ini akan lebih bermakna jika ditemani oleh keluarga di sisi ketika menerima skrol di dewan yang ditetapkan.
Bagaimanapun lain pula ceritanya dengan kisah seorang gadis yang dikongsikan di laman TikTok.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @faaflower, dia berkongsikan pengalamannya apabila dia terpaksa ke dewan konvokesyen dengan bantuan salah seorang petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Berdasarkan video tersebut juga, kelihatan gadis itu yang lengkap berbaju kurung dan mengenakan jubah konvokesyen itu membonceng motosikal yang ditunggang oleh petugas Rela.
“Yang naik motosikal dengan Rela tu adik saya. Saya tukang rakam. Dia kena masuk dewan sebelum pukul 1:30 petang.
“Jadi dia bagi anggaran nak kena sampai sana dalam pukul 12:50 tengah hari supaya ada masa lebih untuk masuk dewan.
“Kami bertolak dari rumah di Setia Alam, Bukit Raja dalam pukul 12:30 tengah hari. Perjalanan ambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai kampus.
“Tetapi rupanya kami tersilap percaturan. Nak masuk pintu pagar UiTM tu jalan dah sesak habis,” terang kakak kepada gadis tersebut.
Difahamkan trafik sesak bermula dari luar pintu pagar kampus disebabkan waktu puncak dan terdapat pelbagai lagi sesi konvokesyen dijalankan pada hari yang sama.
“Kami tersekat dekat situ. Kami cuba jalan lain. Rupanya satu kampus tu memang jammed. Tak kisah la ikut jalan mana pun,” jelasnya lagi.
Kakak graduan itu menerangkan bahawa perkara tersebut berkemungkinan berlaku kerana pertembungan sesi konvokesyen pagi yang baru sahaja selesai kemudian disusuli dengan sesi konvokesyen petang.
“Kami mula rasa macam tak sempat ni. Nak suruh adik jalan tak boleh sebab tengah panas dekat luar, mesti cair mekap dia.
“Lagipun memang jauh jarak dari tempat kami waktu tu nak ke dewan. Tiba-tiba kami ada terdetik kenapa tak minta tolong motosikal yang tengah lalu-lalang tumpangkan,” ceritanya.
Dalam pada itu, kelihatan seorang petugas Rela sedang berada di simpang jalan dengan motosikalnya dan mereka pun mendekatinya.
“Kami tebalkan muka dan tanya sama ada boleh tolong hantarkan dengan naik motor dia. Akak Rela tu sporting dan dia terus setuju.
“Alhamdulillah berkat akak Rela tu tolong, adik saya sampai on time, sempat naik pentas ambil skrol,” luah wanita itu dengan rasa bersyukur.
Oleh hal demikian, wanita itu turut meninggalkan pesan dan nasihat agar datang sekurang-kurangnya dua jam awal kepada sesiapa yang bakal menghadiri istiadat konvokesyen.
Meninjau di ruangan komen, orang ramai mengucapkan terima kasih kepada petugas Rela yang baik hati itu dan menyatakan bahawa momen ini boleh dijadikan sebagai kenangan manis yang takkan pernah dilupakan sampai bila-bila.
Antara komen netizen:
“Sweet laa kak rela pun tlong pakaikan helmet 🐣”
“congrats….ni baru betul kenangan manis….boleh citer smpai anak cucu…😂😂😂”
Video yang tular: