Demi mencari rezeki yang halal, mereka sanggup bersusah payah dengan berkorban masa dan juga tenaga mereka.
Misalnya, bekerja sebagai seorang penghantar makanan (‘walker’) yang memerlukan penghantaran dibuat dalam jarak yang tertentu tanpa menggunakan sebarang pengangkutan yang memerlukan lesen memandu.
Kebiasaannya, jarak yang diberikan tidaklah sejauh mana bagi ‘walker’ ini tapi lain pula dengan kisah seorang lelaki ini.
Baru-baru ini, seorang Foodpanda walker berjalan kaki untuk menghantar makanan buat pelanggan di Kota Kinabalu, Sabah, telah membuatkan ramai orang sebak melihatnya.
Susulan tularnya video yang dimuat naik oleh @neverpermanent di TikToknya itu, aktivis kebajikan terkenal yang bernama Adrian Edy, 27, segera menjejakinya bagi menyampaikan sumbangan kepadanya.
Menerusi laporan MStar, Edy menceritakan kisah pertemuannya dengan Foodpanda walker tersebut.
“Minggu lepas dia berjalan kaki hantar makanan untuk pelanggan ke sebuah hotel. Pelanggan terkejut dia jalan kaki sebab jarak restoran agak jauh, dalam enam ke tujuh kilometer (km).
“Pelanggan rakam video dia sedang berjalan sebab rasa kesian. Selepas video viral, ramai tag saya supaya cari dia. Akhirnya dapat jumpa dia selepas seminggu video tu viral.
“Namanya Khairudin atau Khai, berumur 23 tahun, asal dari Semporna, tapi sekarang kerja di Kota Kinabalu,” ceritanya.
Difahamkan, Khai sebenarnya merupakan anak ketiga daripada lapan orang adik beradik yang lain dan telah bekerja gigih demi membantu keluarganya sejak lima bulan yang lalu.
Selain membayar kos sewa bilik, pendapatannya juga dibahagikan dengan keluarga di kampung memandangkan bapanya sudah lama meninggal dunia.
“Dia sewa bilik RM380 sebulan di Kota Kinabalu. Baru lima bulan jadi walker. Setiap bulan dia kirim duit untuk ibu dan adik-adiknya di Semporna.
“Rupa-rupanya dia tanggung keluarga sebab ayahnya dah meninggal ketika dia umur 12 tahun,” katanya lagi.
Edy sempat bertanyakan kepada Khai, sekiranya dia mempunyai lesen kerana dia mahu menghadiahkan Khai sebuah motosikal.
Walau bagaimanapun, Khai hanya meminta untuk memberikannya sebuah basikal sahaja kerana dia masih tidak berkesempatan lagi untuk mendapatkan lesen memandu.
“Mula-mula tu saya tanya dulu, Khai pandai bawa motor ke? Ada lesen tak? Sebab saya berniat nak bagi sebuah motor.
“Tapi dia kata bagi basikal je. Sebab dia tak tahu lagi bila nak ambil lesen. Kata Khai lagi, nak buat lesen pun mahal.
“Duitnya banyak dihantar untuk ibu setiap minggu. Lebih sayu, dia sebenarnya sedang simpan duit nak beli basikal. Tapi duit tu belum cukup lagi.
“Jadi, setiap hari dia jalan kaki untuk bekerja dari 8 pagi sampai 9 malam. Kalau lokasi tu jauh sangat, dia terpaksa order Grab pula untuk naik kereta ke rumah pelanggan,” terang Edy.
Walaupun sudah boleh agak apa yang bakal diterimanya, Khai masih tetap terkejut dan beremosi ketika Edy menyelak kain biru yang menutupi sebuah basikal baharu untuknya.
“Saya sengaja sembunyikan basikal di sebalik kain tu. Bila dia buka, terus berubah air muka Khai. Memang sedih sebab dah lama dia nak beli cuma tak mampu lagi. Nampak dia betul-betul bersyukur.
“Kemudian bila saya hulur duit belanja sikit, terus dia menangis. Lebih sayu, lepas dapat basikal tu terus dia sambung kerja, pergi hantar makanan pelanggan.
“Petang tu dia WhatsApp saya, dia kata sekarang lebih cepat hantar pesanan sebab dah ada basikal,” ulasnya lanjut.
Video TikTok yang tular:
@adrianedy7 Hadiahkan basikal buat Abang Khai, Foodpanda pejalan kaki yang viral di tiktok, dia memang lama sudah niat mahu beli basikal tapi belum mampu, asal Semporna Sabah. Ayah abang Khai sudah meninggal dunia sejak dia berumur 12 tahun. Mengalir air mata bila dia dapat basikal baru 😭 #fyp #adrianedy ♬ Tercipta Untukku – UNGU