“Saya akui masih mencintai Aliff tetapi…” Luahan Bella Ini Buat Peminat Sebak
Isu rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah bukan lagi rahsia kepada semua peminat mereka.
Sebelum ini, pelbagai isu mula timbul yang menyebabkan keretakan rumah tangga mereka.
Selepas pelbagai isu yang melanda, mereka berpisah pada 16 May 2019. Namun begitu, kedua-duanya masih berhubungan baik tambahan mereka mempunyai seorang cahaya mata hasil dari perkahwinan itu.
Bella dilihat tenang menghadapi perpisahan ini manakala berbeza dengan Aliff. Walaupun mereka berpisah secara baik, Aliff kelihatan sangat terkesan dengan perpisahan ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aliff turut memuat naik beberapa keping gambar perkahwinannya dengan Bella dan berharap bekas isterinya itu kembali kepadanya.
Namun, Bella yang dilihat bersikap matang dalam hal rumah tangga mereka ini dilihat bijak mengawal keadaan dan sentiasa memberikan kenyataan yang positif.
Bella turut diajukan soalan jika beliau mahu bersama kembali dengan Aliff, namun Bella tidak menafikan Aliff ada berbincang soal ini bersamanya.
“Tidak dinafikan, ramai juga yang berharap kami kembali semula sebagai suami isteri. Sejujurnya Aliff sendiri ada menghubungi saya beberapa kali untuk kami kembali bersatu”.
Namun, Bella yang ketika ini masih sibuk dengan kerjaya dan cahaya matanya itu mengulas, beliau mahu fokus dalam mencari rezeki dan menjaga anaknya.
Turut mengulas mengenai Aliff, Bella turut simpati dengan apa yang menimpa Aliff dan membiarkan masa yang menentukan segalanya jika mereka masih mempunyai jodoh.
“Saya akui masih mencintai Aliff tetapi buat masa ini saya tidak fikir mahu kembali seperti dulu. Biarlah masa menentukan,” katanya.
“Saya katakan padanya, kalau kuat jodoh, dua atau tiga tahun lagi pun kita pasti akan bersama”.
Bertanya mengenai apa yang menimpa Aliff, Bella turut meluahkan rasa simpati beliau dengan keadaan Aliff dan mahu bekas suaminya itu bangkit dan belajar dari kesilapan yang dilakukan
“Iya.. melihat keadaan Aliff sekarang, saya turut berasa sedih dan simpati. Tambah pula kami pernah hidup bersama, tapi saya tidak boleh terima Aliff hanya kerana bersimpati terhadap apa yang dia lalui sekarang” katanya kepada MHETV.
“Saya juga ada nasihatkan dia agar menyayangi dirinya dan memperbaiki kesilapan satu persatu tanpa ada paksaan. Biarlah buat masa ini saya fokus untuk mencari rezeki. Hanya itu saya fikirkan sekarang,” katanya.