Anak perempuan kepada pelakon popular Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona yang terkenal di laman media sosial berkongsi sepotong video meluahkan kekecewaannya yang didakwa sering menjadi mangsa kecaman di media sosial.
Menurut Leona, pada satu tahap dia merasakan dilayan dengan melampau oleh segelintir netizen.
“Saya harap pada suatu hari nanti orang akan sedar apa yang saya cuba sampaikan.
“Saya sentiasa menunjukkan sisi yang gembira tapi menjadi orang yang ceria pun masih membuatkan saya rasa sedih.
“Saya rasa tersinggung. Adakalanya pada satu tahap ia menjadi melampau-lampau,” katanya menerusi sepotong video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut telah ditonton lebih 590,000 kali dan mendapat lebih 51,000 tanda suka.
Dalam pada itu, rata-rata pengikut Leona di akaun terbabit turut berkongsi kata-kata semangat dan menitipkan doa agar terus tabah.
Bahkan, ramai juga yang tersentuh melihat air mata Leona yang sentiasa periang akhirnya tumpah.
Sebelum ini, Leona sangat terkenal dengan kelincahannya menari di aplikasi Tik Tok dengan mempunyai jumlah pengikut yang cukup ramai.
Malah, dia pernah dikecam gara-gara merakam dirinya ketika berada di dalam kelas dalam sebuah institusi pengajiannya.
Tweet yang ditulis seorang pengguna Twitter mendapat perhatian ramai sekaligus dikongsi lebih daripada 4,000 dan tidak kurang yang meninggalkan komen.
“Anak Azhar Sulaiman doing TikTok all the time, everywhere, even in a class…and I be like – girl can you just be normal one? (Anak Azhar Sulaiman buat TikTok setiap masa, di mana jua, malah di dalam kelas juga…dan saya seperti – adik, boleh tak jadi orang normal?)” tulisnya.
Tidak berdiam diri, Leona tampil memberikan penjelasan berkenaan video tersebut.
“Semua TikTok yang anda lihat itu, dilakukan ketika masa lapang, tidak pun ia sebelum atau selepas pengajian. Kenapa saya nak buat TikTok jika ia buat rakan kelas dan guru tidak selesa . Walaupun mereka tidak kisah malah biasanya akan menyertai bersama,” jelasnya.