Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn merupakan seorang penyampai radio, pengacara televisyen, pelakon dan usahawan. Linda bukan sahaja jelita, malah berbakat dalam pelbagai bidang.
Wanita berusia 45 tahun ini juga mengusahakan perniagaan nasi ayam, My Mom Chicken Rice. Setakat ini MMCR telah mempunyai empat cawangan.
Baru-baru ini, tersebar kes di mana Linda Onn terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM103.18 apabila pelanggan yang datang ke restorannya makan tanpa membuat bayaran.
Linda akui cuai dan tidak menyedari isu berkenaan kerana kejadian berlaku ketika restoran sedang sibuk. Tambah Linda, perkara tersebut bukanlah kali pertama.
“Sebenarnya memang pernah berlaku, seperti pelanggan datang, kemudian tidak bayar.
“Tetapi ada juga yang tidak bayar kemudian mereka datang balik kerana mereka memang terlupa,” katanya.
Menurut Linda, dia tersedar selepas sistem tidak merekodkan pelanggan tersebut sudah menjelaskan bayaran.
“Nak dijadikan cerita, sistem kami nak masukkan bil meja tersebut, tetapi catatan merekodkan pelanggan masih ada, maksudnya pembayaran belum dibuat.
“Apabila staf saya melihat meja berkenaan, ternyata ia sudah kosong dan tiada pelanggan,” katanya.
Linda kemudiannya memeriksa rakaman litar tertutup (CCTV) dan melihat sebuah keluarga berlenggang meninggalkan meja.
“Ketika kami lihat pada rakaman CCTV, memang seluruh keluarga di meja itu satu persatu meninggalkan meja.
“Saya pun saja je nak muat naik di instagram, andai kata mereka terlupa mungkin akan berpatah balik dan buat pembayaran.
“Tetapi kalau mereka betul-betul terlupa dan tidak ingat, tidak mengapalah saya halalkan,” katanya.
Linda turut berkongsi pernah disarankan rakan-rakan untuk menukar servis bayar dahulu sebelum makan.
“Sebenarnya 10 tahun lalu saya sudah menggunakan sistem bayar dahulu sebelum makan yang kini menjadi trend di restoran makanan.
“Pada ketika itu kami menerima banyak aduan mengatakan sistem ini menyusahkan kerana restoran-restoran lain semuanya makan dahulu baru bayar.
“Jadi, saya pun menukar semula sistem tetapi lain pula jadinya apabila ada pelanggan yang tidak bertanggungjawab melarikan diri sebelum membayar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Linda memaklumkan seorang individu telah hadir untuk membayar bil tersebut dan menganggap isu berkenaan telah pun selesai.