Sering kali kita dengar anak-anak merupakan ‘anugerah’ terindah buat insan yang bergelar ibu dan bapa.
Namun tanpa kita sedar, apabila seeorang anak itu semakin membesar, ibu dan bapa ini juga merupakan sebuah ‘amanah’ buat mereka apatah lagi jika ibu bapa jatuh sakit. Pastinya yang terbaik kita berikan untuk bahagiakan mereka.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang anak Saidatul Syahirah Sulaiman, 27 menceritakan keadaan ayahnya yang menghidap alzheimer atau nyanyuk sehinggakan setiap hari mengajaknya balik ke kampung mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, dia yang mesra dikenali sebagai Ira dalam kalangan ahli keluarga, abahnya juga akan mengambil dan mengemas semua pakaian di dalam almari untuk dibawa balik ke kampung walhal rumah yang didiami di Kampung Tanjung Labuh, Senggarang di Batu Pahat, Johor adalah miliknya sendiri.
“Ayah saya berusia 72 tahun dan dia pesara JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran). Sebenarnya abah belum disahkan alzheimer dan kami tidak mendapatkan rawatan berkaitan.”
“Kami syak dia ada alzheimer. Biasanya abah ada appointment hospital tiga bulan sekali untuk rawatan kencing manis, darah tinggi, buah pinggang”
“Selepas melihat beberapa simptom berkaitan seperti abah selalu dan tanya soalan berulang kali, kami rujuk kepada doktor yang merawatnya jadi doktor cakap sekarang abah di usia yang mudah untuk dapat nyanyuk. Doktor cakap ia berpunca daripada makan ubat hospital yang banyak.”
“Sejujurnya, bila kami dimaklumkan tentang perkara itu dan sedar abah memang nyanyuk… kami semua rasa sedih sebab nyanyuk tu dah macam penyakit keturunan.”
“Arwah nenek pun macam tu dan sekarang tiba-tiba abah jadi macam tu. Tapi kami kena kuat, reda dan tabah sebab kadang-kadang abah akan buat kami sekeluarga rasa sedih, hilang sabar dan nak marah.”
“Tapi kadang-kadang ada juga sikap abah yang menghiburkan… pendek kata memang banyak suka duka yang kami lalui sepanjang bersama abah masa ni,” ujarnya sebak.
Sebagai ikhtiar, mereka adik-beradik pernah membawa ayahnya mendapatkan rawatan tradisional Islam.
“Kami sekeluarga percaya pada rawatan hospital dan alternatif jadi kami bawa juga ustaz datang rumah untuk ruqiah abah. Selepas ruqiah, abah seolah-olah dirasuk kerana sebelum ini dia dah tak terdaya tapi selepas ruqiah abah tiba-tiba jadi kuat dan garang.”
“Lagi pelik sebab dia ingat semua benda. Ustaz pun cakap ada sesuatu jadi kami masih teruskan rawatan Islam, mudah-mudahan apa-apa yang tidak baik pergi jauh daripada abah,” katanya sayu.
“Waktu tu nasib baik adik belum tidur, dia perasan bunyi pintu terbuka dan masa tu abah dah berjalan menghala ke hutan. Lepas kejadian tu, kami terus tukar mangga dan pintu sentiasa berkunci.”
“Jadi macam tu mungkin sebab kitaran tidur abah dah berubah. Dia akan berjaga di waktu malam dan tidur waktu siang..”
“Selain tu, abah juga pernah berkelakuan yang sangat-sangat menyeramkan. Dia bukan saja boleh cakap sorang-sorang tapi dia juga nampak orang yang kami sendiri tidak nampak. Contohnya dia tengah baring depan sofa, tiba-tiba duduk dan cakap ada perempuan nak masuk.”
“Bila dengar abah cakap macam tu, kami satu rumah terus rasa seram. Banyak juga kejadian yang unexpected berlaku,” ceritanya sambil menyatakan hanya dia, suami, dua adik lelaki dan mak yang masih tinggal bersama ayah di kampung.
Bercerita lanjut, ujarnya, pernah suatu ketika dalam jam dua pagi, ayahnya tiba-tiba mandi dan bersiap kemas dengan baju masuk ke dalam serta memakai tali pinggang kerana mahu ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Abah juga pernah menangis awal-awal pagi dan cakap dia terlewat bangun, jadi tak boleh ambil SPM.”
“Selain tu, ada juga peristiwa lain yang menguji kesabaran kami sekeluarga. Benda yang dia ingat adalah dompet, jam tangan, pencen.”
“Setiap 21 haribulan dia dah set akan dapat pencen, jadi mak yang akan ambil. Kalau terlambat ambil dia akan salahkan kita kerana dompet dia kosong.”
“Jam tangan dia kadang-kadang tak tahu letak mana, dia akan salahkan kata ada orang curi kemudian menangis bila cari tak jumpa.
“Dompet dia pun pernah letak kat pinggang tapi dia cakap tak ada… jadi satu rumah jadi huru hara untuk cari,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana ayahnya masih boleh menguruskan diri sendiri kecuali ketika buang air kecil.”
Video yang tular di laman TikTok:
“Abah dah banyak kali ajak balik kampung sedangkan inilah kampung kami dan rumah abah. Kami tak ada kampung, rumah atuk dan nenek dah tak ada. Dalam satu hari lebih 10 kali dia ajak balik kampung.”
“Setiap kali dia nampak saya lalu, dia akan cakap ‘Ira bila kita nak sama-sama balik kampung’ saya pun jawab ‘abah kita nak balik kampung mana’ dia balas ‘balik kampung…’ sedangkan inilah rumah dia dan kampung kami.”
“Abah saya akan tanya berulang kali. Setiap kali mak balik berniaga dari warung depan rumah, dia akan tanya mak ‘awak dah siap ke, kita nak balik kampung ni’. Paling teruk sekali, dia ambil semua baju dalam almari, dia letak kat luar atas meja dan standby nak balik kampung.”
“Tapi kami tak berani nak bawa ke mana-mana kerana musim wabak Covid-19 ni, jadi hanya bawa dia pusing-pusing.”
“Dia pun akan suruh singgah kedai mana-mana untuk beli apa-apa nak bawa balik kampung. Bila dah sampai rumah, saya bersama suami dan adik-adik yang lain akan standby luar rumah seolah-olah menanti kehadiran abah. Selepas salam dan peluk dia jadi gembira,” luahnya sedih.