Dikurniakan bayi merupakan salah sebuah bentuk rezeki yang diamanahkan kepada seseorang oleh Tuhan. Tidak semua pasangan melalui proses yang mudah untuk mendapatkan cahaya mata.
Pun begitu, sehingga tahun ini masih ada segelintir individu yang sanggup membuang bayi di ceruk-ceruk sunyi sehingga bayi yang tidak bersalah digigit serangga mahupun haiwan.
Sama seperti kisah sebak yang dikongsikan oleh seorang pelajar universiti bernama Nisa Rina di mana dia dan rakan-rakannya yang lain terkejut apabila menemui seorang bayi terbiar berseorangan.
Menerusi video yang dimuat naik oleh siswa UPSI ini di TikTok, dikatakan rakannya yang ingin pergi bekerja menghubunginya kerana terjumpa seorang bayi perempuan yang dibuang di atas sofa di kaki lima.
“Dia call kata ‘eh tolong-tolong dekat bawah ni ada baby yang kena buang.”
Nina yang tergamam mendengar khabar itu bergegas bersama rakan universitinya yang lain ke lokasi di mana bayi itu dibuang. Mereka menyangkakan bayi berkenaan sudah tidak bernyawa lagi kerana warna kulitnya sudah kebiruan serta dihurung lalat.
Walau bagaimanapun, mujur bayi cukup sifat itu masih hidup meskipun sudah sejuk akibat ditinggalkan orang tuanya.
“Kami sampai je ke lokasi kejadian tu, tak ada sesiapa langsung hanya ada baby itu yang terbaring di atas sofa di sebelah kedai berhampiran dengan tong sampah (kawasan anjing liar duduk). Bayi tu dibalut dengan 3 ke 4 helai tuala sahaja.
“Badan baby pun masih basah dengan darah, ada air ketuban, pasir dan tali pusatnya pun masih ada.”
Tanpa melengahkan masa, mereka menyelamatkan bayi tersebut dengan mendail 999 untuk panggilan kecemasan dan disambungkan ke Balai Polis Hulu Bernam, Selangor memandangkan kejadian itu berlaku di sempadan antara Hulu Bernam dan Tanjung Malim, Perak.
“Tak lama lepas tu ambulans datang. Felo kawasan dan individu-individu awam yang lain.”
Setelah bayi itu selamat ke tangan pihak hospital, Rina akui emosinya bersama rakan-rakan yang lain terganggu kerana masih teringat nasib yang menimpa bayi itu.
Difahamkan, bayi berkenaan telah diberi nama Hawa oleh kakitangan perubatan dan sudah ada individu yang ingin mengambilnya sebagai anak angkat.
Video yang tular di laman TikTok