Susulan daripada isu Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Subang Jaya, kerajaan negeri Selangor memberi jaminan kuil tersebut tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian menyeluruh dibuat pada 11 Januari tahun depan.
Penyelesaian ini akan membabitkan antara pihak kuil dan pemaju, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Foto: Malaysiakini
Keputusan tentang masa depan kuil itu akan ditentukan dalam satu prosiding mahkamah pada tarikh tersebut.
“Sehingga satu penyelesaian menyeluruh dapat dibuat, makanya saya akan beri jaminan tidak ada sebarang perobohan terhadap kuil terbabit atau pun tindakan undang-undang dibuat kerana pada 11 Januari, barulah akan ada satu prosiding di mahkamah berkenaan satu injuksi supaya tidak akan ada perobohan atau penghalangan perobohan dibuat.”
Kerajaan negeri Selangor akan menjadi “orang tengah” untuk mulakan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit selewat-lewatnya pada Selasa depan untuk mencapai penyelesaian.
“Jadi dari tempoh sekarang sampai ke bulan Januari saya dapat lihat ada jaminan tidak ada sebarang perobohan akan dilaksanakan dan dengan itu kita akan dapat mengekalkan keadaan kuil tersebut,”
Walaubagaimanapun, beliau meletakkan syarat bahawa tidak akan ada sebarang perhimpunan serta provokasi yang akan menyebabkan kekecohan itu berulang.
Beliau juga menafikan spekulasi yang tersebar semalam bahawa kerajaan negeri akan menggunakan wang pembayar cukai untuk mendapatkan semula tapak kuil tersebut daripada pemaju.