Tempe merupakan salah satu makanan yang popular di Asia Tenggara yang dihasilkan daripada kacang soya.
Kebiasaannya, tempe ini digoreng dan dimasak untuk dijadikan lauk seperti tempe tumis udang, tempe goreng, tempe masak kicap dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, tahukah anda tempe ini boleh dimakan secara mentah?
Itulah kegemaran seorang adik kecil ini, bernama Dhuha Mardhiyah Mohd Hizudin Asuad berusia 3 tahun.
Baru-baru ini, videonya yang sedang menikmati tempe mentah di dalam kereta bersama bapanya telah berjaya mencuri perhatian orang ramai di laman platform TikTok.
Memetik laporan MStar, bapanya iaitu Mohd Hizudin Asuad Ahmad, 38, dia menyatakan bahawa anaknya itu telah mula diberikan tempe mentah sejak usianya baru setahun lebih.
Difahamkan, tempe mentah itu diberikan atas keinginan anaknya itu sendiri.
“Sebenarnya saya pun suka makan tempe mentah. Semasa Dhuha umur setahun lebih, dia nampak saya makan tempe dekat dapur, kemudian dia minta. Saya bagi la dia rasa. Tak sangka dia boleh makan mentah juga.
“Sekarang setiap kali ibu dia masak di dapur, dia akan minta tempe mentah dan dia akan patahkan siap-siap jadi dua.
“Satu Dhuha akan bagi saya, satu lagi untuk dia. Sekarang ni setiap kali makan tempe, mesti dia akan patahkan dua sebab dia tahu saya suka makan juga,” jelasnya.
Asuad yang merupakan seorang guru mengaji Al-Quran dan seorang yang aktif menjadi jurulatih pemakanan sihat, menerangkan bahawa dia tidak menggalakkan anaknya makan makanan ringan, sebaliknya memilih tempe mentah sebagai snek ketika lapar.
Selain tempe mentah, Dhuha juga gemar memakan sayur-sayuran seperti salad, tomato, timun jepun serta brokoli yang dimakan mentah.
Dikatakan, kesemua makanan ini akan menjadi hidangan wajib buat mereka sekeluarga.
“Saya tak suka sangat nak bagi anak makan snek ringan. Jadi saya ajar dia untuk makan buah-buahan atau sayur dan juga tempe kalau dia lapar.
“Alhamdulillah dia boleh terima dan makan. Dhuha juga suka makan sayur-sayur mentah. Kalau ibu dia masak, memang wajib ada sayur untuk dia. Bawang besar yang orang letak dalam telur dadar pun dia makan dan siap cakap bawang tu rasa manis,” terangnya.
Kata Asuad, makanan sihat diberikan pada anaknya agar tidak mudah jatuh sakit dan difahamkan bahawa makan tempe mentah sama sekali tidak memberikan kesan buruk kepada Dhuha.
“Alhamdulillah setakat ni tak ada apa-apa kesan lagi pada Dhuha. Tempe bagus sebenarnya untuk kanak-kanak sebab ia diperbuat daripada kacang soya.
“Dhuha pun sekarang masih minum susu ibu. Saya tak bagi dia minum susu formula sebab isteri pun banyak bekerja dari rumah, jadi saya dan isteri tidak terdesak lagi untuk tukar susu anak.
“Anak saya jarang sakit, Alhamdulillah. Kalau dia demam pun hanya sehari dua sahaja. Tak sampai teruk ke apa. Alhamdulillah dia sihat,” kata Asuad.
Asuad juga sempat menitipkan pesan buat ibu bapa, hendaklah menerapkan amalan pemakanan sihat secara berterusan hingga ianya mampu menjadi gaya hidup seisi keluarga.
“Pesan saya, ibu bapa adalah kunci kepada dapur bagi setiap keluarga. Faktor pemakanan anak-anak bermula dari dapur rumah.
“Nak amalkan makanan sihat ni, ibu bapa yang perlu mulakan dahulu. Sebab nanti anak-anak akan tengok apa yang ibu dan ayah dia makan. Makan biar ringkas tetapi teratur kuantitinya,” ulasnya lanjut.
Video TikTok yang tular: