Kerajaan memutuskan untuk mengantung pelaksanaan skim pembayaran semula untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), lapor Malaysiakini.
Dalam satu kenyataan hari ini Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata skim itu digantung buat sementara waktu.
“Skim pembayaran semula PTPTN akan digantung buat sementara waktu sehingga kami menerima input dan maklum balas secara kolektif daripada semua pemegang taruh,” katanya melalui Twitter tengah hari ini.
Pada 5 Dis lalu Pengerusi PTPTN mengumumkan langkah badan itu untuk melaksanakan skim bayaran balik pinjaman secara progresif atau potongan gaji berjadual (PGB) mulai Jan 2019.
Katanya pemotongan tersebut akan dibuat berdasarkan kepada gaji yang diterima peminjam PTPTN apabila mereka dibayar RM2,000 sebulan.
Katanya potongan dibuat di antara dua hingga 15 peratus.
Bagaimanapun langkah itu dikecam pelbagai pihak, termasuk di kalangan penyokong kerajaan.
Untuk peminjam yang mendapat gaji di antara RM2,000 dan RM2,499.99 dua peratus daripadanya akan dipotong. Bermakna mereka akan mengalami pemotongan di antara RM40 dan RM49.99.
Bagi peminjam yang bergaji di antara RM2,500 dan RM2,999.99 pula tiga peratus akan dipotong, atau antara RM75 dan RM89.99).
Untuk peminjam dibayar gaji di antara RM3,000 dan RM3,999.99 lima peratus – atau antara RM150 dan RM199.99 akan dipotong.
Potongan sebanyak lapan peratus pula dikenakan kepada peminjam bergaji antara RM4,000 dan RM5,999.99 dan 10 peratus untuk orang bergaji antara RM6,000 dan RM7,999.99, manakala kalau mendapat gaji RM8,000 ke atas potongan yang ditetapkan ialah 15 peratus, atau RM1,200 dan lebih