Melepaskan pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat untuk keluarga kita pergi memang akan meninggalkan rasa rindu dan sebak yang mendalam.
Ya lah, cuba bayangkan pembantu rumah yang rapat, dah dianggap sebagai ahli keluarga tiba-tiba balik ke negeri asal.
Beberapa hari lalu, tular video memaparkan rindu seorang kanak-kanak perempuan terubat apabila pembantu rumah Indonesia akhirnya kembali ke Malaysia.
Norazlina Mohd Yusof berkata, pembantu rumah tersebut yang dipanggil Bibik Yanti telah berkhidmat bersama keluarganya selama dua tahun bermula 2019.
Wanita berusia 37 tahun itu menjelaskan bahawa Bibik Yanti terpaksa pulang ke kampung di Medan pada akhir 2021 disebabkan suaminya yang tidak sihat.
“Dah setahun bibik balik, kami semua sedih. Ada juga memujuk, tetapi harus akur dengan keadaan yang dialaminya di kampung lebih-lebih lagi keadaan kesihatan suaminya.
“Setiap kali pujuk, bibik kata kena bincang dengan suami. Walau apa pun, dia perlu mendapat restu keluarga,” katanya kepada mStar.
Lebih dikenali sebagai Cik Lyn Gebu, memberitahu hubungan keluarganya dengan pembantu rumah yang kini berusia 46 tahun itu erat sehinggakan ketiadaannya begitu dirasai.
“Terutamanya anak perempuan saya, Xufaira Diandra yang berusia sembilan tahun, paling sedih apabila bibik balik kampung. Mereka sangat rapat, makan dan tidur pun selalu bersama.
“Xufaira seorang anak yang ceria, tapi nampak jelas kesedihannya kerana berpisah dengan bibik. Kalau tengok status WhatsApp dia macam orang putus cinta.
“Contoh status macam ‘Apa rasanya apabila orang tersayang pergi meninggalkan kamu?‘, ‘Aku rindu kamu‘… kadang-kadang dia letak gambar atau video bersama bibik sebab rindu,” ujarnya mengenai anak kedua daripada tiga beradik itu.
Menurut Norazlina, pembantu rumahnya pernah kembali ke Malaysia tahun lalu bagi menjaga anak bongsunya yang sakit dan pulang semula ke kampung.
“Walaupun berpisah, kami sering berhubung dan bertanya khabar. Lebih-lebih lagi Xufaira, hampir setiap hari mereka telefon atau hantar mesej,”.
Mengulas lanjut keperibadian pembantu rumahnya, dia dan keluarga menyifatkan Bibik Yanti sebagai wanita yang baik dan penyayang.
“Orangnya tak pernah meninggi suara, tak pernah naik tangan pada anak-anak saya. Dia tak akan ambil barang atau duit bukan kepunyaannya.
“Dia sangat tenang dan menjaga solatnya, paling terharu dia juga mengajar anak-anak saya mengaji dan mendalami ilmu agama,” tambahnya.
Norazlina yang merupakan pengusaha produk kosmetik dan kecantikan syukur dan gembira apabila pembantu rumahnya itu akhirnya bersetuju untuk kembali berkhidmat dengannya.
“Mereka hidup susah di sana, dengan anak-anak masih bersekolah dan ada juga belajar di universiti di Aceh. Saya bersyukur kerana dapat bantu dia dengan gaji yang best untuk hantar duit ke kampung dan biaya anak belajar… niat saya memang nak bantu.
“Kalau kita layan pembantu rumah dengan baik, insyaAllah dia juga okay dengan kita. Jangan bezakan diri kita dengan mereka,” katanya.
Turut menyifatkan Bibik Yanti sebagai ‘penasihat keluarga’, Norazlina berkongsi mengenai kejutan yang dibuat untuk anak-anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2 ) di Sepang, pada akhir Februari.
“Saya beritahu nak jemput sepupu mereka dari Sabah, tapi sebenarnya menunggu ketibaan Bibik Yanti dari Medan. Saya dah pesan pada bibik jangan beritahu anak saya, mahu buat kejutan.
“Masa di ketibaan di KLIA2, saya tercari-cari bibik. Tiba-tiba anak saya terdiam, tergamam nampak bibik dulu. Dia menangis sambil kata ‘sampai hati bibik sebab tipu kami‘ (kejutan),” selorohnya.
Video yang tular di laman TikTok