Connect with us

Viral

Suami Isteri Nekad Jual Kancil Selepas Bisnes Asam Pedas Tak ‘Jalan’ Demi Sara 5 Anak, Akui Lebih Takut Hilang Tempat Tinggal

Setiap insan pasti ada ujian hidup masing-masing. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Iospital phone repair gombak

Ada juga keluarga yang sanggup menggadaikan segala harta demi kelangsungan hidup seharian.

Baru-baru ini, tular kisah menyayat hati pasangan suami isteri yang mana Perodua Kancil usang milik mereka dijadikan ikhtiar terakhir bagi menyelamatkan rumah mereka.

Isteri berkenaan, Safiyah Abdullah berkata kereta Kancil terpakai itu dibeli pada 2021 untuk kegunaan berniaga dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Walaupun berat hati melepaskan kereta yang sangat membantu dalam mencari rezeki, wanita berusia 30 tahun ini bersama suaminya terpaksa reda.

“Bayaran rumah sewa sebanyak RM400 sebulan sudah tertunggak tiga bulan. Itu belum lagi nak menampung makan minum kami sekeluarga.

“Saya dan suami berniaga asam pedas tetal sejak 1 Ramadan lalu, tapi tak balik modal. Ada hari hanya terjual sebungkus RM5,” katanya.

Hanya bertahan selama enam hari, Safiyah akur bisnes berkenaan lebih mendatangkan kerugian selain menjejaskan sumber pendapatan.

“Sebelum ni okay, tapi masuk bulan puasa bisnes makin ‘sakit’. Mungkin antara sebab adalah gerai kami di Duyong Bestari, Melaka terlalu dekat dengan bazar Ramadan, jadi orang ramai lebih tertumpu ke sana membeli juadah.

“Kami pula tak mampu nak sewa tapak bazar. Jadi berniaga apa yang boleh, tapi kami struggle nak bayar tunggakan sewa rumah dan tanggung anak-anak.

“Itu sebab kami buat video di TikTok untuk cuba jual kereta kancil tu pada harga RM3,000,” kata ibu kepada lima cahaya mata dan tiga daripadanya sudah bersekolah.

Selain masalah tunggakan sewa rumah dan sara hidup keluarga, dia yang menetap di Melaka Tengah, Melaka juga perlu menanggung kos penjagaan anak bongsunya, dua tahun kerana menghidap laryngomalacia, masalah saluran pernafasan.

“Kami lebih risau hilang tempat tinggal. Kat mana kami sekeluarga nanti? Itu belum lagi lagi kos ulang-alik bawa anak ke hospital setiap minggu selain cari duit untuk baiki seandainya kereta tu rosak lagi.

“Bukan tak pernah terfikir nak mohon bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tapi kami rasa masih mampu berusaha dan berikhtiar sedaya-upaya.

“Bantuan kewangan tu seeloknya untuk mereka yang lebih susah, fakir miskin. Buat apa ambil hak orang, jadi kami ikhtiar dengan jual kereta untuk selesaikan segala hutang yang ada,” katanya.

Kisah Safiyah yang tular di media sosial mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang kemudiannya segera membuat lawatan bersama JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

“Hasil perbincangan Safiyah tak pernah mohon JKM dan Maim untuk bantuan yang berkala. Kita tunggu Safiyah lengkapkan borang untuk hantar kepada JKM dan Maim.

“Untuk rekod juga, Maim sebenarnya banyak kali dah bantu Safiyah dalam bentuk one-off (sekali) yang mana dia datang apabila mengadu masalah dan Maim bantu secara tunai.

“Jadi, untuk langkah seterusnya kita perlukan dokumen-dokumen daripada Safiyah untuk kita bantu dari segi bantuan lain.

“Dokumen tu pun telah diminimumkan untuk agar dapat bantu Safiyah dengan segera,” katanya menerusi video di Tiktok beliau.

Mengenai cadangan Adun Duyong, JKM dan Maim, Safiyah akhirnya akur dan segera mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan secara berkala pada masa akan datang.

“Alhamdulillah syukur. Kami juga mencuba nasib, kembali berniaga nasi goreng ayam kunyit dengan menu rahmah berharga RM5 sebungkus.

“Buat masa ini, kami buka tempahan dan kebanyakan pelanggan melakukannya untuk infaq Ramadan, sama ada disumbangkan ke masjid, rumah anak-anak yatim atau orang awam.

“Jika ada permintaan, kami akan menjual di gerai seperti biasa. Terima kasih kerana ramai yang prihatin dan teruskan mendoakan kami,” katanya.

Video yang tular di laman TikTok

@mnhelmy In Sha Allah, bantuan sentiasa ada kalau kena cara #DUYONGkita #ybMatDuyong #sumbangan #bantuan #fyp #trending ♬ original sound – Mohd. Noor Helmy

Continue Reading
Advertisement