Connect with us

Semasa

[VIDEO] Lelaki Didakwa Pukul Isteri ke-2 Yang Hamil Hingga Koma Tak Mengaku Bersalah

Seorang lelaki yang disyaki memukul isteri keduanya yang hamil hingga parah tiba di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Menerusi laporan Sinar Harian, suspek yang memakai ‘sweater’ tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Sejurus tiba, suspek yang bergari dikawal ketat oleh anggota polis dan kemudian dibawa masuk ke Mahkamah Majistret bagi proses pendakwaan.

Difahamkan pada Khamis, pendakwaan yang akan dikemukakan terhadapnya membabitkan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Pada 12 Jun, suspek yang merupakan peniaga dan mempunyai 3 isteri itu ditahan semasa keluar membeli makanan dengan menunggang motosikal di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi Jumaat.

Sebelum itu, polis mengedarkan gambar suspek sebagai usaha menjejakinya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita hamil parah dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Wanita itu yang merupakan seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di Johor dilaporkan berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Kejadian yang menimpa wanita itu menjadi tular selepas adik mangsa, Fazariah Nordin memuat naik keadaan kakaknya dalam laman sosial.

Adik mangsa dikenali sebagai Fazariah mendakwa, kakaknya yang ber­kahwin pada 7 September tahun lalu telah dimasukkan ke ICU HSA pada 4 Mei lalu selepas dihantar suaminya yang berusia 38 tahun.

“Saya terima panggilan daripada abang ipar sehari kemudian (5 Mei). Dia beritahu kakak dimasukkan ke hospital ke­rana cedera. Dia beritahu ada tolak sikit sebelum kakak terjatuh dan minta maaf,” katanya.

Fazariah yang bergegas ke HSA dari Sungai Udang, Melaka berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati kepala dan badan kakaknya dipenuhi dengan wayar dan sedang bertarung nyawa di ICU dalam kea­daan tidak sedarkan diri.

Menurut wanita itu, tengkorak kepala kakaknya terpaksa dibuang bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk disebabkan berlakunya pendarahan pada otak.

“Doktor memaklumkan harapan kakak untuk pulih seperti sedia kala adalah tipis,” katanya sambil memberitahu mangsa baru disahkan mengandung empat minggu.

Adik mangsa mendakwa, dia tidak men­getahui punca pasa­ngan tersebut bergaduh kerana kakaknya jarang mengadu me­ngenai kisah rumah tangganya.

Berdasarkan maklumat rakan sekerja, mangsa juga kerap dilihat mengalami lebam di muka dan tangan.

“Kami tak sangka abang ipar tergamak bersikap ganas. Saya tidak tahu pekerjaannya, kami sekeluarga ada bertanya tetapi dia mengelak,” dakwanya.

Susulan kejadian itu, Fazariah telah membuat laporan di Balai Polis Larkin di sini pada 6 Mei lalu.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.