Menjadi pejuang garis dua bukanlah satu perkara yang mudah. Disaat ramai yang telah dikurniakan cahaya mata selepas membina mahligai, namun ada yang masih cekal menanti kehadiran zuriat.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana pasangan suami isteri Noorizam Abu Samah dan Adib Hafaz Abu Hassan, 42,belum dikurniakan zuriat walaupun sudah 12 tahun menjalani bahtera perkahwinan.
Memetik laporan mStar, wanita yang mesra disapa Noor berkata, pelbagai usaha dilakukannya sejak tahun pertama bergelar isteri.
Mengakui mengamalkan diet kerana mengalami masalah obesiti, wanita berusia 37 tahun itu turut melakukan rawatan tradisional seperti berurut di samping mendapatkan khidmat nasihat pakar di hospital.
“Hasil daripada nasihat pakar, saya mengambil ubat-ubatan yang disarankan. Namun, saya mengalami masalah hormon pula kerana ubat yang diberikan itu tidak sesuai dengan tubuh.
“Pada masa sama, saya disahkan mempunyai PCOS (Sindrom Polikistik Ovarium) dan kurang darah pada usia ketiga perkahwinan,” luahnya
Dia juga akui sudah lali dengan persekitaran Hospital Kajang kerana acap kali dimasukkan ke situ.
“Masalah kesihatan bermula kerana saya obesiti dan pada masa sama ingin memiliki zuriat sendiri.
“Pertama kali saya dimasukkan ke hospital adalah pada tahun pertama perkahwinan dan sehingga memasuki tahun kedua.
“Masa tu saya alami kencing ada protein, gara-gara makan ubat kurus selama enam bulan. Tapi tu sebelum berkahwin dan kesannya saya alami selepas berkahwin,” katanya yang kemudian pulih daripada masalah buah pinggang berkenaan.
Tidak menunggu lama, pasangan suami isteri ini meneruskan usaha untuk mendapatkan zuriat sehinggalah mendapatkan nasihat dan rawatan ginekologi daripada pakar sehingga kini.
Terbaharu, anak kelahiran Kajang, Selangor ini diduga pula dengan beberapa masalah kesihatan lain yang berkaitan obesiti.
“Semasa pemeriksaan kesihatan baru-baru ini, saya dimaklumkan mengalami OSA atau gangguan tidur yang serius dan fatty liver stage two.
“Sebelum ni saya dimasukkan ke Hospital Kajang sahaja, tapi kali ni di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” ujarnya sambil berharap masalah kesihatan yang dialami dapat segera diubati.
Noor juga bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa berada disisi walaupun sentiasa ulang-alik ke hospital dan menghidap pelbagai masalah kesihatan berkaitan obesiti.
“Dulu dekat dengan rumah sebab saya dimasukkan ke wad Hospital Kajang… tapi sekarang di HCTM. Jauh untuk dia ulang alik melawat saya.
“Dia juga tidak pernah ketinggalan untuk melawat saya di hospital setiap hari walaupun terpaksa meredah hujan dan panas mahupun ketika letih bekerja.”
“Sekarang pula sering hujan pada waktu petang dan suami hanya menunggang motosikal.”
“Tapi caranya tidak pernah berubah sejak 12 tahun lalu seolah-olah menjadi rutin harian apabila saya masuk wad.”
“Kadang-kadang saya rasa kasihan sebab dia perlu datang jauh, dah la kerja pun penat,” ujarnya sayu.
Tidak cukup dengan itu, wanita ini juga sering menerima panggilan video daripada suami untuk memberi sokongan moral agar dia terus kuat menghadapi dugaan.
“Terima kasih ada dengan saya waktu susah senang, dengar rungutan sakit saya sana sini dan menerima saya seadanya.”
“Semoga Allah balas segala kebaikan, kasih sayang yang dia bagi pada saya,” rintihnya pilu.
Video yang tular di laman TikTok: