Spiderman Far From Home baru saja ditayangkan di pawagam. Namun, dalam banyak – banyak Spiderman tak kiralah lakonan Tobey Maguire, Andrew Garfield mahupun Tom Holland, semua ni tak boleh lawan Spiderman Jepun.
Yup, Spiderman Jepun. Juga dipanggil sebagai Supaidāman. Percayalah, ia wujud!
Supaidāman menyepak spiderman US
Supaidāman telah dihasilkan oleh Toei, yang mendapat persetujuan dari Marvel. Siri ini ditayangkan sebanyak 41 episod dari 17 Mei 1978 hingga 14 Mac 1979.
Bagaimanapun, plot bagi Spiderman Jepun dan Spiderman US sangatlah berbeza dan lebih menyerupai plot cerita Super Sentai (Power Rangers). Kostum je yang sama, yang lain semua berbeza.
Bagaimana Supaidaman Mendapat Kuasa?
Mengisahkan tentang seorang pelumba motosikal muda bernama Takuya Yamashiro yang terlihat sebuah kapal angkasa terhempas ke bumi.
Takuya mengikut bapanya Dr. Hiroshi Yamashiro, seorang ahli arkeologi angkasa pergi menyiasat kapal tersebut.
Tetapi ketika pergi menyiasat, Hiroshi telah dibunuh oleh Iron Cross Army. Iron Cross Army kemudiannya mengejar Takuya dan dia melarikan diri ke sebuah gua lalu bertemu Garia, pahlawan terakhir Planet Spider yang masih hidup.
Garia menerangkan kapal tersebut sebenarnya adalah Marveller, sebuah kapal perang yang membawa mangsa dari planet Spider, yang sedang melarikan diri dari Profesor Monster dan Iron Cross Army, sebuah kumpulan yang merancang untuk memerintah alam semesta.
Garia kemudiannya memberi Spider Bracelet kepada Takuya. Garia juga menyuntik darahnya yang menjadikan Takuya berkebolehan seperti labah-labah seperti melekat dan memanjat ke dinding (dan banyak lagi kuasa sebenarnya).
Spider Bracelet juga meyimpan kostum yang digelar Spider Protector (rupanya sama macam kostum Spiderman yang biasa kita lihat). Dengan kuasa ini, maka bermulalah kisah Supaidāman menentang Iron Cross Army dan membalas dendam terhdap kematian bapanya.
menentang musuh dengan gaya
Apa Kuasa Supaidāman?
Kuasa Supaidāman tidak hanya terhad kepada kebolehan seperti labah – labah. Kuasanya termasuk kekuatan, kelajuan, pendengaran dan deria bau luar biasa, penyembuhan pantas, penglihatan X-Ray dan pada waktu malam dan boleh berkomunikasi dengan labah – labah.
Dan tak lupa juga, ketangkasan dan refleksi Superhuman. Supaidāman juga boleh melihat masa depan. Power!
Seperti yang kami kata, plot Supaidāman lebih menyerupai Super Sentai mungkin kerana kedua – duanya dimiliki oleh syarikat yang sama iaitu Toei.
Supaidāman akan menentang raksasa berlainan setiap minggu dan biasanya berakhir dengan pertarungan raksasa gergasi melawan robot Supaidāman.
Kami tak tipu, Supaidāman memang ada robot macam Megazord.
asal keluar pedang je, mesti mati raksasa
Spider Bracelet kepunyaan Supaidāman membolehkannya mengawal Marveller, dan mengubahnya menjadi robot gergasi yang digelar “Leopardon”.
Leopardon mempunyai ketinggian lebih daripada 60 meter dan mempunyai berat lebih daripada 25,000 tan. Ia juga dilengkapi pelbagai senjata termasuk pedang. Hebat bukan!
malaysia patut ikut design kereta terbang ni
Supaidāman juga mempunyai kereta terbang yang digelar Spider Machine GP-7. Kereta ini dilengkapi dengan mesingan dan pelancar peluru berpandu di dalam bonetnya.
Ia biasanya disimpan di dalam Marveller.
tutorial membelasah thanos
Begitulah hebatnya Supaidāman. Kami rasa jika Supaidāman muncul dalam filem Avengers, mungkin Thanos tak ada peluang untuk menang langsung.
Baru nak petik jari, dah kena pijak dengan Leopardon.
kenapalah aku tak sehebat Supaidāman??
Rujukan: Comic Drake, Marvel Fandom