Connect with us

Filem

Superhero Ikonik Malaysia ‘Keluang Man’ Bakal Difilemkan

Siri animasi legenda Malaysia yang amat popular dan menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak.

Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Kerjasama ini sekali gus menjadi titik permulaan buat Astro Shaw dan Iconic Animation Studio dalam memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu serta bakal melahirkan universe adiwira tempatan terbesar.

Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an. Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Bin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas Dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998.

Mempunyai 7 musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita amat unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi adiwira bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.

Watak adiwira tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sikap kejujuran yang tinggi.

Rentetan daripada reaksi positif para peminat dan penonton sejak animasi ini ditayangkan, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan lagi animasi kegemaran ramai ini.

Dengan kehadiran filem baru Keluang Man yang bakal diterbitkan, Astro Shaw dan Iconic Animation Studio komited untuk menghasilkan karya terbaik dengan memastikan
legasi Keluang Man terus hidup bersama generasi baharu dan akan datang.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami rasa amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk bekerjasama dengan Iconic Animation Studio dalam mengangkat karya animasi legenda ini ke pentas yang lebih besar iaitu layar perak.

“Kami percaya jenama Keluang Man amat besar dalam industri seni animasi tempatan dan mempunyai peminat tersendiri yang membesar bersama siri animasi ini. Meskipun jenama ini telah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia
masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman. Kami harap berita baik ini dapat memberi keterujaan buat peminat dan sekali gus dapat membuktikan karya animasi tempatan mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi.”

Pengarah Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Muhamad Firdaus Bin Omar berkata, “Jenama Keluang Man telah bertapak dalam industri animasi lebih 26 tahun dan ia masih diingati serta diperkatakan dalam kalangan peminatnya. Kami yakin ramai yang menantikan kemunculan semula animasi Keluang Man ini.

Malah, perancangan untuk membawav animasi ini ke filem juga telah lama dibuat. Alhamdulillah, akhirnya impian ini bakal terlaksana dan lebih rasa berbesar hati kerana ia bakal direalisasikan bersama penerbit terkemuka Malaysia, Astro Shaw. Jadi, nantikan kemunculan semula Keluang Man tidak lama lagi.”

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Iconic Animation, Ida Rahayu Md Noor turut berkata, “Iconic percaya dengan semangat kebersamaan pemilik hakcipta, pemilik jenama termasuklah para waris mereka dalam merealisasikan filem ini dengan Pasukan Kreatif Astro Shaw, Keluang Man bakal menjadi legenda besar Industri Animasi tempatan bertaraf
Global.”

Bekas Penolong Pengarah Animasi Keluang Man, Amir Hamzah Hashim yang juga Presiden Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) menyambut baik berita ini dan menyokong penuh usaha pihak Astro Shaw dalam merekayasa dan meneroka ruang pasaran baharu bagi jenama Keluang Man.

“Sebagai antara penggiat awal dan dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pengarah Animasi dalam produksi asal dahulu, berita ini sangat menyegarkan dan memberi lebih energi kepada kami untuk terus menghasilkan karya baharu bagi tatapan peminat adiwira tempatan ini, saya berharap para peminat dapat menyokong dan memberi reaksi positif apabila ditayangkan kelak.”

Keluang Man bakal memulakan pra-produksi dalam masa terdekat dan pihak Penerbit akan
mengumumkan jangkaan tayangannya di pawagam kelak.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.