Setiap tahun kedatangan bulan Ramadhan sentiasa dinanti-nantikan. Namun begitu, setiap tahun kedatangan Ramadhan mengundang sayu di hati wanita ini.
Tahun ini merupakan tahun ke sembilan buat suami tercinta tidak dapat menjalani ibadah puasa seperti orang lain.
Tahun pertama saya bagi susu ikut tiub
“Sembilan kali Ramadan dah awak tak boleh puasa. Tahun pertama saya jaga awak kat hospital, saya bagi susu melalui tiub (hidung).”
“Lapan kali Ramadan saya suap awak melalui mulut sebab dah boleh makan nasi,” tulisnya.
Semoga pulih ingatan dan dapat berpuasa
Posting berkenaan dikongsikan oleh L’yana Syafik menerusi Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari ini Official.
L’yana berkongsi kapsyen mengenai kisah suaminya beserta sekeping gambar hidangan nasi berlauk telur mata dan ikan selayang goreng.
Makan tengah hari untuk suamiku
Terlibat kecelakaan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja
Menurut Wanita berkenaan, Azliyana Ali berkata, suaminya tidak dapat berpuasa kerana sakit selepas terlibat dalam kecelakaan jalan raya.
Memetik laporan mStar, kejadian berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Bukit Besi, Terengganu pada 2013 ketika perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Dua tahun terbaring di rumah
Kongis wanita berusia 41 itu, nahas itu mengakibatkan suaminya yang kini berumur 43 tahun mengalami kecederaan di kepala selain patah pergelangan tangan kiri dan tulang pipi.
“Suami saya menjalani pembedahan di kepala dan terlantar di hospital selama dua bulan.”
“Hampir dua tahun dia terbaring saja di rumah dan sekarang dia dah boleh duduk.”
Suami hilang ingatan, tak ingat saya dan anak-anak
“Akibat kecederaan itu, suami mengalami hilang ingatan. Dia tidak ingat saya dan anak-anak.”
“Dia juga tak boleh uruskan diri sendiri, saya yang jaga dia sepanjang masa, makan minum dan tukarkan lampin untuk dia,” katanya yang mendirikan rumah tangga sejak 2006.
Suami tidak dapat berpuasa kerana masalah kesihatan
Wanita yang mahu dikenali sebagai Yana berkata, suaminya tidak dapat berpuasa kerana masalah kesihatan yang dihadapinya dan dia akan memasak untuk suami.
“Lauk saya masak untuk suami berbeza-beza setiap hari. Alhamdulillah, suami tak cerewet dan dia makan apa yang saya masak.”
“Kadang-kadang saya masak makanan kegemaran dia iaitu ikan keli goreng kunyit dicampur kicap,” ujarnya yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu.
Saya tidak boleh selalu keluar rumah
Menurut ibu kepada tiga anak itu, suaminya itu perlu diberikan perhatian sepanjang masa dan pada masa sama dia juga bertanggungjawab menguruskan anak-anaknya.
“Jadi saya tak boleh keluar rumah selalu sebab suami tak boleh ditinggalkan lama-lama. Sekadar hantar dan jemput anak di sekolah dan beli barang keperluan.”
Saya ambil tempahan kuih-muih untuk tampung keluarga
“Saya sekarang ni membuat dropship jual baju dan mengambil tempahan untuk kuih-muih termasuk biskut raya untuk menjana pendapatan keluarga,” ujarnya sambil menambah suaminya menghidap penyakit sawan.
Yana dan keluarga yang menetap di Kuala Nerus berkata, kadang-kadang suaminya lebih mengingati peristiwa dan keadaannya yang lampau.
Ketika saya baca Yasin, suami ikut baca tiba-tiba
“Saya diberitahu suami masa muda-mudanya sering mengaji. Ada ketika saya membaca surah Yasin, suami tiba-tiba ikut baca surah Yasin tanpa tengok buku.
Saya berharap agar suami dapat berpuasa semula dan memberikan kasih sayangnya sebagai bapa. Anak-anak begitu merindui kasih sayang bapa mereka.
Anak-anak merindui bapa mereka yang dulu
“Suami tak ikut sampai baca habis, tapi dia baca dengan sendiri lepas tu dia senyap dan hanya mendengar saya meneruskan bacaan,” katanya sambil menambah bahawa anak-anaknya sering mengadu merindui bapanya yang dahulu.
Yana berkata, pada masa ini dia sekeluarga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) suaminya.
Doakan suami saya sihat dan ingatannya pulih
“Saya masih mengalami kekangan kewangan kerana perlu menanggung kos perubatan suami selain urusan perbelanjaan keluarga terutama anak-anak.
“Saya berharap masalah kewangan dapat diatasi, malah mengharapkan orang ramai mendoakan agar suami saya kembali sihat dan ingatannya pulih.”
Saya harap suami dapat berpuasa semula
“Saya juga berharap agar suami bukan sahaja dapat berpuasa semula, bahkan juga memberikan kasih sayangnya sebagai bapa.”
“Anak-anak begitu merindui kasih sayang bapa mereka,” katanya sebak.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa agar suaminya sembuh dan memberikan kata-kata semangat buat keluarga ini.