Connect with us

Viral

Tak Dapat Sambung Belajar Sebab Tiada MyKad, Impian Pelajar Cemerlang STPM Ini Akhirnya Tercapai!

Asalnya mimpi, kini berubah menjadi realiti.

Iospital phone repair gombak

Begitulah kisah yang dikaitkan dengan seorang pemuda lepasan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) yang bernama Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman yang baru sahaja berjaya mendapatkan kad pengenalan (MyKad) pada Disember tahun lalu.

Omar Mokhtar, 21, sebelum ini pernah meluahkan rasa bimbangnya jika dia tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajarannya kerana tidak mempunyai MyKad.

Memetik laporan MStar, Omar kini dibantu oleh beberapa pemimpin politik serta agensi bukan kerajaan (NGO) selepas liputan MStar telah dibuat terdahulu pada 25 Ogos 2022.

“Dulu saya kongsikan masalah ini menerusi Twitter untuk tarik perhatian pihak tertentu agar membantu golongan seperti saya. Alhamdulillah, mStar merupakan media pertama yang buat liputan kisah saya. Selepas itu saya turut dihubungi oleh media-media lain.

“Kemudian, saya turut dibantu oleh beberapa NGO serta beberapa pemimpin politik untuk mempercepatkan proses mendapatkan MyKad. Alhamdulillah, saya akhirnya dapat MyKad pada Disember tahun lepas. Rasa macam hilang bebanan selama ini, rasa macam bebas daripada penjara.

“Dah bertahun saya menunggu, sejak umur 12 tahun lagi. Dah cuba macam-macam jalan, akhirnya saya berjaya dapat MyKad. Sekarang nak pergi mana-mana pun tak risau. Saya dah boleh buka akaun bank, selepas ini saya nak buat lesen memandu pula,” luah Omar.

Difahamkan, Omar akhirnya berjaya diterima ke Universiti Utara Malaysia (UUM) setelah kisahnya mendapat perhatian pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Alhamdulillah saya dah berjaya sambung belajar pada Oktober tahun lepas. Walaupun masa tu saya belum dapat MyKad. KPT bantu untuk saya buat permohonan selepas kisah saya jadi perhatian ramai. Saya diterima masuk ke UUM sebagai pelajar bidang Pengurusan Sumber Manusia.

“Saya bersyukur sangat. Kalau ingat balik masa sekolah dulu, saya tak dapat biasiswa kerana taraf bukan warganegara, sedangkan keputusan akademik saya memberangsangkan. Tambahan pula saya daripada keluarga kurang berkemampuan. Rasa macam rugi tak dapat semua tu kerana tiada MyKad.

“Tapi hari ini saya bersyukur dah dapat apa yang saya idamkan. Terima kasih kepada netizen yang bantu menerusi Twitter sehingga kisah saya dapat perhatian ramai,” terangnya.

Omar merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademiknya.

Selain STPM, Omar pernah meraih keputusan 4A, 1B dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), 7A, 2B, 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 5A, 3B, 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Walau bagaimanapun, Omar gagal mendapatkan MyKad ketika berusia 12 tahun disebabkan kesilapan data ibu kandungnya yang dikesan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ayah dan mak kenal di Selangor ketika mereka bekerja di sana. Mereka berkahwin dan kemudiannya berpisah masa saya umur setahun. Masa kecil, saya hanya berhubung dengan mak melalui telefon sehinggalah kami terputus hubungan masa umur saya lima tahun.

“Mak berasal dari Sabah. Ketika nak buat kad pengenalan masa umur 12 tahun, JPN kata ada kesilapan pada data mak. Apabila tak boleh tahu asal-usul sebenar mak, JPN cuba daftarkan saya di bawah ayah. Tapi ayah tak lahirkan saya. Untuk buktikan status, JPN perlukan sijil nikah tapi ayah gagal tunjukkan sijil itu sebab mereka pun dah bercerai.

“Jadi JPN tak dapat daftarkan saya sebagai warganegara. Berkaitan asal-usul mak, JPN kata ada tiga kemungkinan. Pertama, mak bukan warganegara. Kemungkinan kedua mak guna kad pengenalan palsu atau guna kad pengenalan orang lain masa daftar kelahiran saya.

“JPN cakap kalau nak kata mak orang Sabah sekali pun, ramai orang Sabah tak ada kad pengenalan, pendatang Filipina pun ramai,” jelas Omar.

Omar sempat menyatakan hasratnya untuk membuat carian ibunya sendiri suatu hari nanti.

“Walaupun kisah saya viral pada tahun lepas, kami masih gagal menjejaki ibu kandung saya. Pihak JPN dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) cuba jejaki pun tak dapat juga. Agak susah sebab dah lama lost contact. Tapi saya berdoa agar ibu kandung masih hidup.

“Niat nak cari selalu ada, sebab dia ibu yang lahirkan saya. Tapi sekarang agak terbatas. Ada rezeki di kemudian hari, InsyaAllah saya akan cuba cari lagi,” ujar Omar mengakhiri bicara.

Continue Reading
Advertisement