“Mama minta maaf sebab tak dapat nak bagi anak-anak mama tempat tidur selesa”
Itulah yang ditulis dalam caption video yang dimuatnaik di TikTok oleh @nuruleifa9543, video tersebut tular di aplikasi itu yang memaparkan 3 orang kanak-kanak yang dipercayai ialah anak kepada pemilik video tersebut.
Menerusi video itu, kelihatan 3 orang anaknya tidur dengan hanya beralaskan tikar yang dihamparkan di atas rumput, ketiga-tiga anaknya kelihatan nyenyak tidur di luar sebuah kereta uzur.
Apa yang lagi menyedihkan ialah anak-beranak itu menumpang tidur di tempat parkir kereta di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang di Lebuhraya Utara-Selatan.
“Ya Allah, ya Tuhanku, kasihan kat anak-anakku along, angah dan adik. Mama minta maaf sebab tak dapat nak bagi anak-anak mama tidur dengan selesa,” coretnya di dalam video TikTok yang dikongsi.
Menurut mStar, Nurulhafifa Mohd Sabri berkata, dia tidak menyangka video yang asalnya sekadar menjadi video kenang-kenangannya menempuh kesusahan bersama anak-anak itu tular.
“Sudah empat bulan kami tidur di kawasan R&R, berhujan dan berpanas selepas tak dapat bayar tunggakan rumah sewa selama lima bulan serta tunggakan bil air dan elektrik selama setahun berjumlah kira-kira RM4000.
“Merata-rata tempat kami bermalam, kadang-kadang di R&R Juru dan R&R Gurun. Anak-anak lebih selesa tidur atas tikar di luar kereta, saya dan suami pula tidur di dalam kereta,” katanya.
Ujar Hafifa, dia merupakan ibu tunggal selama 11 tahun sebelum berkahwin dengan seorang mekanik berusia 38 tahun dengan pendapatan tidak tetap, pada 9 Februari lalu.
“Bengkel tempat kerja suami ditutup sementara sebab kes Covid-19. Jadi, kami jual tisu.
“Kadang-kadang kami sampai ke R&R Sungai Buloh di Selangor sebab lebih ‘laku’ di sana. Kami pergi ke kereta-kereta, minta tolong mereka beli tisu sebab nak isi minyak dan top up duit tol” katanya.
Hafifa mengatakan bahawa sebelum ini dia berniaga gerai menjual air balang dan buah potong, akan tetapi bisnesnya terjejas kerana ekoran pandemik Covid-19.
Video yang dimuatnaik olehnya itu telah meraih perhatian netizen sebanyak 1.4 juta tontonan, dan ada beberapa pihak tampil memberi bantuan.
Video tular di laman Tiktok:
Salah seorang daripada mereka adalah pemilik butik, Nazuha M Ariffin, 31, yang menemui Hafifa di R&R Bagan Ajam di Butterworth, Pulau, Pinang pada Sabtu lalu sebelum membawa keluarga itu membeli barang keperluan.
Menurut Hafifa, seorang lagi hamba Allah turut membantu dari segi bayaran tunggakan rumah sewa sekali gus membolehkan dia bersama keluarga kembali tinggal di rumah berkenaan.
Alhamdulillah sekarang dia dan keluarganya tidak perlu menjual tisu hanya mencari kotak dan tin buruk untuk dijual di kedai besi buruk sahaja. Moga dipermudahkan segalanya buat keluarga Hafifa.
Sumber: mStar, TikTok @nuruleifa9543