Jika dilihat rata-rata penghantar makanan adalah lelaki, namun hakikatnya penghantar makanan wanita ini wujud.
Kini, golongan wanita juga mampu berdaya saing untuk melakukan pelbagai kerja asalkan mendatangkan rezeki yang halal.
Salah seorang penghantar makanan wanita adalah Farah Nur Syifa, 20, yang memilih untuk bekerja sebagai seorang penghantar makanan (Foodpanda) sejak habis praktikal.
Saya kerja dengan Foodpanda sejak awal tahun
Dia yang lebih mesra disapa Fafa berkata, pada awalnya pekerjaan penghantar makanan ini sekadar sambilan.
Akan tetapi memandangkan waktu sekarang susah untuk mendapatkan pekerjaan dia membuat keputusan untuk melakukan pekerjaan ini sepenuh masa.
“Saya kerja dengan Foodpanda sejak awal tahun lagi. Saya daftar tahun lepas masa tengah belajar dulu tapi baru dapat masuk awal tahun”.
Saya buat sepenuh masa sebab susah dapat kerja
Memetik laporan Astro Gempak, Fafa suka dengan pekerjaan sekarang walaupun pada awalnya dia hanya melakukan kerja ini secara sambilan.
“Awal tahun pulak saya praktikal, jadi saya buat sambilan lepas dah habis kerja.
“Selepas praktikal, saya terus buat sepenuh masa sebab sekarang ini susah nak dapat kerja”.
Alhamdulillah, sepanjang bekerja tiada perkara tidak diingini
“Saya suka kerja ni, boleh dikira macam hobi juga la. Kadang kadang tu ada perasaan takut juga terutama waktu malam, saya pulak perempuan”.
“Alhamdulillah sepanjang bekerja ni tak ada lagi perkara yang tidak diingini berlaku. Minta dijauhkan,” katanya.
Ada yang bagi duit raya pada saya
Pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) jurusan Terapi Kecantikan ini berkata dia gembira dapat bertemu dengan berbagai bangsa dan umur pelanggan yang rata-ratanya memberi layanan yang baik.
“Pengalaman yang menyeronokkan, pelanggan tak kira bangsa dan umur. Mereka sporting, ada yang bagi duit raya dekat saya”.
“Paling seronok apabila pelanggan faham masa kita lambat hantar sebab kedai makan tengah ramai orang” ujarnya.
Masa puasa, ada pelanggan sedekah air untuk berbuka
“Alhamdulillah, masa puasa haritu ada pelanggan sedekahkan air untuk saya berbuka.
“Masa tu tinggal dua minit lagi nak berbuka. Rasa dihargai sebagai ‘rider’ dan barisan hadapan (frontliner),” kata Fafa.
Bukan hanya satu kerja saya buat
Dalam pada itu, mempunyai wajah yang cantik membuatkan Fafa tidak terlepas daripada diganggu oleh kaum Adam.
“Kadang-kadang tu ada ja tapi saya tak layan. Kalau nombor tak kenal, saya akan layan jika dia pelanggan perniagaan saya”.
“Bukan hanya satu kerja saya buat, ada beberapa lagi yang saya sertai sebagai ejen”.
Saya tolong ibu jual laksa mee pangkor
“Saya juga tolong ibu jual laksa mee pangkor, setiap hari saya akan hantar di sekitar Ipoh,” katanya menutup perbualan.
Semoga kisah gadis muda penghantar makanan ini menjadi inspirasi kepada orang ramai diluar sana.