Beberapa minggu lepas, tular satu kes di mana seorang wanita dikenali sebagai Kak Ti, telah dikompaun oleh pihak polis disebabkan dia gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka.
Namun begitu, wanita itu mendakwa dia tidak berada di tempat awam yang memerlukannya untuk berbuat demikian.
Ketika insiden itu berlaku, wanita ini sedang keluar dari kenderaannya bagi mengambil anak di kerusi sebelah.
Malah, jika dilihat menerusi foto yang dikongsi dapat dilihat kawasan tersebut lengang daripada orang ramai.
Tidak berakhir di situ, rakaman litar kamera tertutup (CCTV) juga turut dikongsi olehnya sebagai bukti menunjukkan keadaan sebenar di kawasan tersebut.
Terbaru menerusi tweet wanita itu, dia menjelaskan telah menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan kompuan RM1k yang telah dikenakan kepadanya pada 20 Januari yang lalu.
Menurutnya, dia tidak perlu lagi membayar kompaun tersebut kerana pihak Jabatan Peguam Negara telah membatalkannya.
“Assalamualaikum guys! latest uodate alhamdulillah dapat call dari KKM Putrajaya semalam.
“Jabatan peguam negara da batalkan kompaun aku ni so x peru bayar da. Alhamdulillah. tq family friends and semua atas doa korang!”
Dalam pada itu, dia memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih kepada individu-individu yang pernah membantunya selama ini.
Terdahulu, kisah mengenai wanita ini tular di media sosial kerana disaman dan didakwa tidak memakai pelitup muka yang menjadi kewajiban ketika berada di tempat awam.
Menerusi rakaman yang dikongsikan itu, kelihatan seorang perempuan telah keluar dari keretanya sebelum sebuah kereta polis berhenti dan seorang anggota mendekatinya.
Menurut Kak Ti, dia didenda di depan kafenya di Segamat, Johor pada 20 Jan lalu kerana tidak memakai pelitup muka.
Tambahnya, ketika itu dia sedang mengeluarkan anaknya dari kereta dan tiada orang lain di sekitar kawasan berkenaan.
“Aku bukan nak give up awal ke apa. tapi nampaknya kes aku ni mcm xda future ja hadoiii. da bagi bukti cctv tempat x sesak pun senyap je. video duration 6 minit yg aku ada. tp x reti nak post video panjang. aku redha. tunggu mahkamah maha Esa je la. ha gitu. 4 polis, aku, anak2″
Bagaimanapun, menerusi laporan Malaysiakini, Ketua Polis Johor, Ayub Khan Mydin mempertahankan denda yang dikenakan dan berkata ada orang lain di kawasan itu ketika kejadian.
“Ketika itu, bersama individu berusia 29 tahun itu ialah seorang wanita yang bekerja di kafe tersebut tetapi memakai pelitup muka.
“Kenyataan individu ini menyatakan di kawasan tersebut tiada orang dan tiada kesesakan adalah tidak benar sama sekali.” kata Ketua Polis Johor Ayub Khan Mydin Pitchay seperti dipetik Sinar Harian.
Ditanya berkenaan rakaman CCTV itu, Ayub ketika dihubungi berkata Polis Johor tidak akan membuat sebarang komen lanjut berkenaan kes ini.
Nur Izzati pada mulanya berkata dia mahu membuat bantahan terhadap denda itu tetapi kini menerimanya setelah merasakan ia tidak akan membuahkan hasil.