Selepas 47 hari bertarung nyawa melawan penyakit kanser, seorang ibu muda berusia 24 tahun, Noor Athirah akhirnya menemui ajal pada 9 Julai 2020.
Allahyarhamah telah meninggalkan dua orang cahaya mata yang masih kecil lagi.
Malah, lebih meruntun jiwa, suaminya Muhammad Hairi Ramli, 27, berkongsi, bagi menyelamatkan kandungan arwah isterinya terpaksa melahirkan anak keduanya sebulan awal.
Athirah telah disahkan menghidap kanser payudara ketika sedang sarat mengandung anak kedua, dan ketika itu doktor memaklumkan bahawa sel barah telah merebak sehingga bahagian tulang belakang.
Oleh itu, disebabkan keadaan Noor Athirah semakin parah, bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi yang dikandung doktor menyarankan agar dia melahirkan bayinya melalui proses pembedahan di usia kandungan 8 bulan.
Sebaik saja melahirkan, arwah dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan berada berada dalam keadaan koma serta bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan.
Bahkan, anak bongsu yang baru dilahirkan belum sempat merasa setitik pun susu ibu dan hanya mengharapkan susu formula khas untuk bayi pramatang.
“Anak bongsu yang diberikan nama Muhammad Aidilfitri, belum dapat merasa setitik pun susu daripada ibunya dan hanya bergantung pada susu formula…”
Muhammad Hairi memberitahu, selepas melahirkan anak sulung pada 2017, isteri perasan ada terdapat benjolan kecil pada payudara kanan yang awalnya diingatkan bengkak susu.
“Namun ketika mengandungkan anak kedua, benjolan pada payudara sebelah kanan timbul semula. Benjola itu kemudian semakin membesar dan menyakitkan tetapi pada awalnya disangkakan ia hanya bengkak susu…”
“Pada awal kehamilan, isteri sangat cergas. Bagaimanapun apabila kandungan berusia lapan bulan, saya melihat isteri cepat penat dan lesu yang dianggap mungkin kerana beliau sedang sarat,” katanya.
Sementara itu, di Facebook sepupunya, Mawardy Che Aziz, dia memaklumkan arwah telah kembali ke rahmatullah pada 9 Julai lebih kurang jam 1 pagi di Hospital Raja Zainab II Kota Bharu, Kelantan setelah 47 hari bertarung nyawa mulai 23/5/2020 – 9/7/2020.
“Saya mewakili seluruh ahli keluarga mengucapkan jutaan terima kasih dan mohon halal semua yang terlibat di atas segala DOA serta DERMA yang telah diberikan kepada arwah serta keluarganya.
“Mohon juga jasa baik semuanya mendoakan agar arwah ditempatkan dikalangan yang beriman. In Shaa Allah. Aamin”
Allahyarhamah Noor Athirah disahkan meninggal dunia pada 9 Julai, kira-kira jam 1 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Diharapkan agar keluarga terus tabah menghadapi kehilangan ini.