Connect with us

Semasa

Tak Sempat Serah Hadiah Untuk Isteri & Anak, Anggota Bomba Maut Dalam Perjalanan ke Balai

Hasrat seorang anggota bomba menyerahkan hadiah tudung kepada isteri dan topi keledar anak tunggalnya tidak kesampaian.

Memetik laporan Harian Metro, anggota bomba tersebut telah terkorban dalam kecelakaan jalan raya membabitkan dua motosikal di Jalan Sanglang berdekatan Kampung Sanglang.

Ambil hadiah di tempat kerja untuk anak dan isteri

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru itu, Anuar Abdullah, 33, yang menunggang motosikal Kawasaki Versys terkorban di tempat kejadian.

Ketika kejadian mangsa yang tidak bertugas itu dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat selepas mengambil hadiah di tempat kerjanya untuk diberikan kepada isteri dan anaknya.

Arwah sedang bercuti dan ke pejabat untuk ambil barang

Bagaimanapun motosikal ditunggang Anuar dikatakan bertembung motosikal Honda Wave ditunggang Tey Ah Pin, 74, dari Kampung Parit Gantong, Ayer Baloi di sini, menyebabkan kedua-dua mangsa terkorban di tempat kejadian.

Isterinya, Rohayu Idris, 30, berkata suaminya sedang bercuti dua hari dan memberitahu ke balai tempat dia bertugas untuk mengambil beberapa barangan yang dibeli secara dalam talian.

Arwah suami beriya-iya mahu ambil barang

“Arwah sempat jamah char kuetiau ketika sahur pagi tadi,” kata Rohayu Idris, 30, iaitu isteri kepada anggota bomba, Anuar Abdullah.”

“Arwah suami beriya-iya mahu mengambil barangan yang dibelinya di balai termasuk topi keledar untuk anak yang berusia empat tahun.”

Mahu bawa anak bersiar guna topi keledar itu

“Dia sudah lama berhasrat hendak membawa anak kesayangannya itu bersiar-siar di sekitar kampung menaiki motosikal dengan menggunakan topi keledar berkenaan.”

“Lepas Subuh tadi arwah keluar dari Batu Pahat ke Pontian dan memaklumkan akan pulang jam 9 pagi.”

Panggilan telefon tidak diangkat

“Namun selepas jam 9 pagi, saya mulai risau kerana panggilan telefon dibuat tidak diangkat.

“Adik saya ternampak gambar motosikalnya terbabit kecelakaan jalan raya di Facebook dengan penunggangnya disahkan maut,” katanya.

Anggota yang rajin, baik dan disenangi rakan-rakan

Rohayu yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Benut berkata, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan berkata, Allahyarham seorang anggota bomba yang rajin dan baik serta disenangi rakan-rakan.

Kehilangan besar kepada Balai Bomba Pontian Baru

Beliau berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada BBP Pontian Baru.

“Hampir dua tahun arwah sudah bertugas di BBP Pontian Baru. Sebelum itu arwah bertugas di BBP Kuala Kubu Baru Selangor setelah tamat latihan pada tahun 2010,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal iaitu jenis Kawasaki dan Honda.

Kedua-dua mangsa yang terlibat disahkan terkorban 

Beliau berkata, penunggang motosikal Honda merupakan seorang warga emas berusia 74 tahun turut terkorban di lokasi kejadian.

“Kedua-dua penunggang terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.”

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah motosikal Kawasaki Versys berkenaan melanggar Honda Wave yang keluar dari lorong di tempat kejadian.

Sementara itu, menerusi perkongsian di laman Facebook Friends of Bomba Malaysia turut berkongsi berita sedih itu.

 

“Dukacita dimaklumkan bahawa PB 14775 Anuar Bin Abdullah (33 tahun) yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Johor telah kembali ke Rahmatullah pada jam 0907 pagi sebentar tadi (Sabtu-01.05.2021) setelah terlibat dalam kecelakaan jalan raya Jalan Besar Pontian menghala ke Benut, Pontian, Johor.”

“Dalam kejadian tersebut, motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang oleh Allahyarham telah bertembung dengan sebuah motosikal lain (Honda Wave) dan menyebabkan Pegawai Bomba tersebut dan penunggang motosikal Honda Wave disahkan terkorban ditempat kejadian oleh pihak Ambulan KKM.”

“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Pontian untuk proses bedah siasat. Maklumat masa jenazah Allahyarham akan dikebumikan akan dikemaskini dalam masa terdekat.”

Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Anuar Bin Abdullah, semoga keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dengan ujian ini.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.