Anak-anak Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menangis teresak-esak apabila diberitahu ibu tersayang tidak akan pulang ke rumah lagi.
Shuib berkongsi detik menyayat hati itu menerusi Instagramnya, pada mulanya dia agak keberatan untuk menyampaikan berita pemergian arwah kepada anak-anak, selepas selesai pengebumian isterinya petang tadi.
“Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya ligat memikirkan bagaimana hendak beritahu anak-anak mengenai ibu mereka. Sebaik sampai, saya naik ke bilik untuk membersihkan diri.
“Saya mandi sangat lama, terlalu lama. Selesai mandi, saya turun untuk makan. Kebetulan, azan Asar berkumandang, jadi saya naik semula untuk ambil wuduk.”
“Tiba-tiba ibu mentua saya hubungi dan beritahu saya perlu beritahu anak-anak kerana mereka sudah menonton kisah ibu mereka di YouTube.”
Katanya ketika masuk ke dalam rumah, dia seboleh mungkin cuba mengelak untuk bertemu anak-anak tapi tak sempat kerana puteri keduanya iaitu Talita terus bertanya adakah saya sudah menerima gambar adik bongsunya, Ayash Affan. Namun, dia hanya memberitahu dia perlu mandi terlebih dulu kerana ada urusan di luar.
“Saya pun turun dan kebetulan, berita pemergian isteri ditayangkan di televisyen (TV). Anak sulung, Uwais bertanya betulkah ibu sudah tiada? Lalu, saya panggil semua anak-anak dan terangkan perkara sebenar.”
Menurut perkongsiannya, Shuib berkata dugaan paling berat yang perlu dia lakukan selepas ketiadaan Sarah ialah dia perlu cekalkan hati dan kuat untuk memberitahu tentang ketiadaan ibu anak-anaknya.
“ini adalah dugaan paling berat perlu saya lakukan. Saya cekalkan hati dan turun panggil anak-anak. Kebetulan ketika membuka TV, tajuk beritanya adalah Siti Sarah sudah tiada. Jadi, terus anak-anak bertanya sama ada betul atau tidak berita ini.”
Ibu Tak Akan Balik Rumah Lagi
“Saya beritahu kepada mereka kalau sebelum ini kita buat solat hajat untuk mohon supaya ibu balik, tapi sekarang ini ibu tidak akan balik rumah lagi.”
“Ketika itu semua diam. Ada yang faham, ada yang tidak faham. Saya cuba terangkan satu persatu kepada mereka. Saya beritahu kita berdoa dengan Allah supaya ibu balik, tapi ibu bukan milik kita sebaliknya ibu milik Allah.
“Jadi Allah tak boleh pulangkan kepada kita sebab Allah terlalu sayangkan dia, mungkin dia terlalu baik. Jadi Allah nak ambil dia dan kita tidak akan jumpa dia lagi.”
“Waktu itu anak-anak semua menangis teresak-esak, tapi lama-lama mereka faham. Jadi saya beritahu kepada mereka yang ibu pesan mahu anak-anaknya jadi anak yang soleh dan solehah.
“Ibu juga beritahu harta yang dia miliki adalah anak-anaknya. Ibu mahu anak-anak turut pandai mengaji dan tidak tinggal solat.”
Begitu sayu hati seorang ayah meluahkan rasa sebaknya melihat anak-anak yang dikasihi merindui kasih seorang ibu.
Namun, Shuib turut bersyukur kerana Allah mengurniakan anak-anak yang bijak dan baik untuknya. Anak-anak kemudian mula reda dan faham apa yang berlaku terhadap ibu mereka.
Shuib juga memberitahu dia sempat menunaikan solat Asar berjemaah bersama anak-anak, dia memanjatkan doa agar Allah membimbing hatinya dan anak-anak untuk menjadi seperti arwah yang tidak kedekut, selalu bersedekah dan sering berbuat baik dengan semua orang.
“Mereka semua menangis ketika saya membaca doa dan bertanya kenapa kami tidak lagi buat solat hajat kepada ibu mereka.”
Video anak-anak Shuib menangis rindukan ibu
Rata-rata netizen tidak dapat menahan sebak menonto video berkenaan dan meluahkan rasa simpati kepada keluarga tersebut.