Baru saja mengikat tali pertunangan pada 23 Februari lepas, pelakon cantik Tasha Shilla dan pasangannya, Muhammad Atiq Idris sah menjadi suami isteri sebentar tadi.
Tasha dan Atiq memilih tarikh 28 Februari 2020 dan selamat diijab kabulkan dengan menerima mas kahwin sebanyak RM800 dan dinikahkan sendiri oleh bapa pelakon tersebut.
Tasha Shilla terlihat cantik berbaju serba putih dan manis berhijab.
Suasana pernikahan yang berlangsung di Dewan Utama, Masjid Wilayah Persekutuan berjalan lancar ini tenang dengan kehadiran ahli keluarga masing-masing.
Terdahulu, Tasha dan Atiq telah selamat bertunang pada 23 Februari lepas di sebuah lokasi di Empire Damansara secara tertutup dengan kehadiran saudara mara terdekat sahaja.
Pasangan sebaya berusia 33 tahun itu diperkenalkan seorang teman dan dijangka melangsungkan majlis perkahwinan pada akhir bulan ini.
“Perkenalan bermula di sebuah acara amal di Masjid Wilayah. Tanpa diduga berputik rasa sayang dan cinta.
“Tak sangka segala perancangan dipermudahkan. Saya tidak menjangkakan majlis pertunangan akan berlangsung semeriah ini.
“Saya percaya inilah jodoh yang diaturkan Yang Maha Esa,” katanya kepada BH Online.
Tasha atau nama sebenarnya, Nastashasheila Abdul Razak berkata, dia rasa tenang dan bahagia ketika berada di sisi Atiq.
“Saya percaya inilah cinta sejati yang dicari-cari selama ini.
“Insya-Allah, kami akan bernikah dalam masa terdekat. Saya akan umumkan nanti,” katanya usai majlis pertunangan berakhir.
Sementara itu, Atiq yang bekerja dalam bidang kewangan di Singapura mengakui menyenangi sifat Tasha.
“Meskipun luaran Tasha nampak garang, dia sebenarnya baik, lembut, menyayangi keluarga, suka kanak kanak dan menjaga solat.
“Saya tidak akan menghalang Tasha meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Cuma, saya berharap dia akan menjaga adab dan solat,” katanya.
Pada majlis pertunangan itu, Atiq menyerahkan cincin, tepak sirih dan beberapa hadiah lain kepada tunangannya itu. Sebelum ini, Atiq menghantar rombongan merisik pada 1 Februari lalu.
Semoga ikatan yang terbina sebentar tadi terus berkekalan sehingga ke akhir hayat. Selamat pengantin baru buat Tasha Shilla dan suami.
Video Majlis Pernikahan Tasha Shilla Dan Atiq Idris