Menjadi seorang pelajar bukanlah satu perkara yang mudah. Manakan tidak, perlu bangun pagi untuk ke kelas, berjaga malam untuk menyiapkan pelbagai kerja, perlu kejar tarikh untuk submit tugasan bahkan perlu menghadiri ‘discussion’ bersama rakan yang lain demi memperoleh segulung ijazah.
Pun begitu, ada juga diantara pelajar yang boleh dikatakan ‘gifted’ kerana tak perlu bersusah payah membuat ulang kaji namun mampu meraih keputusan yang cemerlang.
Bukan itu sahaja, mereka juga dianugerahkan kebolehan untuk memahami apa yang dipelajari dengan mudah.
Sama seperti video yang tular baru-baru ini dimana memaparkan suasana sebuah bilik kolej kediaman di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mana pelajar bertungkus-lumus membuat tugasan kursus.
Dapat kita lihat, ada diantara mereka yang bersila malah ada juga yang meniarap di lanta sambil menghadap komputer riba.
Mereka dilihat bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran disamping bertanyakan soalan dan berbincang tentang perkara berkaitan tugasan mereka yang kurang jelas.
Pun begitu, kelihatan seorang pelajar sedikit terpinggir daripada rakan-rakan lain apabila dia duduk bermain permainan video di mejanya.
Dia tekun merenung skrin komputer ribanya yang sedang memaparkan visual permainan alam maya manakala tangannya lincah menggerakkan dan menekan punat di konsol permainan.
Dia seakan tidak mengendahkan segala tugasan dan seolah-olha berada dalam ‘dunia’nya yang tersendiri.
Melihat kapsyen video itu, pelajar tersebut hanya nampak ‘alpa’ dari segi luaran tetapi sebenarnya mempunyai ‘taring’ sendiri.
“Siang malam main game tahu-tahu dekan je,” tulisnya.
Menyusuri ruangan komen, seorang warga maya mendakwa pelajar yang bermain permainan video itu sebenarnya sudah selesai mengulang kaji pelajaran tetapi tidak ditonjolkan secara terbuka.
“Ketahui la dia sebenarnya dah puas study semua chapter dalam diam ketika kita semua lalai. Ini masa dia relax pula,” tulis netizen itu.
Pemilik video itu membuat komen balas mengatakan dia tidak pernah melihat rakannya itu belajar dan sangsi dengan tekaan tersebut.
“Tapi tak nampak pun dia study, macam mana tu?” soalnya.
Seorang lagi netizen yang mungkin juga seorang pelajar ‘gifted’ turut menyatakan rahsianya iaitu dengan memberikan tumpuan ketika sesi kuliah.
“Kitaorang fokus time lecture bang,” katanya.
“Orang macam ini selalu fokus 100 peratus dalam kelas,” kata seorang netizen menyokong kenyataan tersebut.
Seorang netizen turut meluahkan rasa hampa kerana ketika pelajar lain membanting tulang, pelajar sebegini hanya tenang untuk mendapat keputusan cemerlang.
Video yang tular di laman TikTok: