Biarpun kehidupannya dan anak tidak seindah insan lain, Robiah Jantan, 56, tabah menanggung segala derita demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga, lapor HMetro.
Bagi ibu kepada empat anak yang berusia antara 15 hingga 18 tahun itu, sejak suaminya menghilangkan diri tiga tahun lalu, segala tanggungjawab dan tugas diambil alihnya walaupun perit melalui ujian terbabit.
“Walaupun pahit, saya sesekali tidak pernah menyalahkan takdir atas apa yang berlaku kerana ada anak yang memerlukan kasih sayang.
“Saya bangkit dan kuatkan semangat untuk mencari rezeki bagi memastikan anak tidak berlapar walaupun ada kalanya perlu mengikat perut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Langsat Tanjung Bidara, semalam.
Menurut Robiah, walaupun dia ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia tidak cukup selain terpaksa mengambil upah membersihkan surau.
“Dengan upah bulanan RM320 dan bantuan diterima JKM, ianya tidak cukup menampung perbelanjaan kami sekeluarga.
“Adakalanya kami terpaksa menahan lapar hingga tiga hari kerana tiada wang,” katanya.
Robiah berkata, bagi menghilangkan kerunsingan fikiran disebabkan dihimpit kemiskinan, dia membina replika rumah mini yang diperbuat daripada kayu dan zink terbuang.
“Saya membuat rumah mini bukan hanya untuk mengisi masa lapang, tetapi untuk menenangkan fikiran kerana bimbang jika perkara tidak diingini berlaku sekiranya terlalu berfikir.
“Walaupun pada awalnya rumah mini berkenaan dibuat bukan untuk dijual tetapi demi menampung perbelanjaan harian, saya rela melepaskannya kepada yang berminat,” katanya.
Menurutnya, semua empat rumah mini berkenaan sudah siap sepenuhnya selain turut dicat dan diletakkan perhiasan.