Nama Amy Search merupakan salah satu nama yang ‘legend’ dan dikenali ramai kerana mungkin ada di antara kita yang membesar dengan lagu-lagu kumpulan Search serta nyanyian hebat vokalisnya. Sehingga kini, lagu-lagu kumpulan rock ini sentiasa dimainkan di corong-corong radio.
Umum mengetahui, gelaran Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua, seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah. Seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Datuk Shah Rukh Khan.
Hari ini, penyanyi lagenda Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi bin Abdul Rahman telah menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 yang membawa gelaran Datuk.
Difahamkan, Amy Search merupakan salah satunya pelaku seni yang menerima pingat tersebut sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat.
Memetik laporan Astro Gempak, vokalis kumpulan Search ini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Dato Sri Rauf Yusoh dan melahirkan rasa syukur di atas kurniaan yang diterimanya selepas 42 tahun menjadi anak seni. Malah, gelaran tersebut bukan sesuatu perkara yang menghalang dirinya untuk berubah menjadi sebaliknya.
“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.”
“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali. Saya tetap Amy Searh, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” katanya.
Menurut Amy, anugerah pingat Datuk yang diterimanya adalah sebuah tanggungjawab dan pengiktirafan buat seluruh karyawan hiburan yang juga memainkan peranan penting.
“Dengan dikurniai pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik dan pingat ini sebenarnya juga bukan untuk saya secara individu tetapi adalah mengiktiraf bahawa anak seni atau karyawan hiburan juga memainkan peranan penting dalam sosio ekonomi kita,” tambahnya lagi.