Pelakon Janna Nick mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan provokasi menerusi video tular sehingga menjejaskan namanya baru-baru ini.
Menurut Janna, disebabkan kontroversi itu dia dituduh sebagai seorang yang tidak sensitif dengan mempersendakan kematian orang lain.
“Memang saya akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan provokasi dan fitnah terhadap saya.
“Saya terpaksa mengambil serius kerana perkara ini ditularkan semula selepas tiga tahun dan ini melibatkan isu kematian di mana saya tidak akan mempermainkan isu ini sama sekali, tidak mungkin datang dari mulut saya sendiri.
“Disebabkan itu juga saya dituduh tidak menghormati kematian orang yang bukan Islam, saya dituduh tidak sensitif akan kematian sesiapa pun yang mana saya rasa itu bukanlah saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Janna juga mendedahkan dia telah menerima beberapa ugutan bunuh disebabkan satu komen yang kononnya ditulis oleh dirinya.
“Di sini saya ingin jelaskan tentang kenyataan yang tular selepas saya nyah aktif akaun saya. Ada seseorang keluarkan kenyataan berkenaan komen kononnya ‘Janna ada membalas komen seorang ustaz yang menegur Janna untuk tidak mempersendakan orang yang telah meninggal dunia.’
“Di sini dia tulis saya ada membalas komen dengan ayat ‘ustaz peminat K-Pop eh, jangan taksub sangat.’
“Saya merasakan perkara ini terlalu memfitnah saya, saya dianiaya kerana ayat ini langsung tidak dikeluarkan oleh saya.
“Tidak dikeluarkan atau dinyatakan dalam saya punya akaun sosial media, langsung tidak ada. Saya menerima banyak kecaman atas ayat ini.
“Saya juga menerima beberapa ugutan bunuh, disebabkan perkara itu saya terpaksa mengambil tindakan polis,” jelasnya dalam sidang media yang berlangsung secara virtual hari ini.
Dalam pada itu, peguam bela Janna, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates memaklumkan kes masih lagi dalam siasatan.
“Ugutan bunuh adalah satu jenayah yang sangat serius, sekarang kes ini masih lagi disiasat oleh pihak polis jadi lebih baik untuk tidak membuat sebarang komen lanjut. Kita tunggu hasil siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, Janna didakwa mentertawakan kematian seorang penyanyi K-Pop dalam satu video sekitar tahun 2018.
Bagaimanapun Janna telah membuat permohonan maaf menerus satu video namun penggunaan gelaran ‘si mati’ terhadap mendiang Kim Jong-hyun dalam video berkenaan menimbulkan kemarahan peminat penyanyi itu.
Tambah panas apabila warganet mendakwa Janna menghina ahli kumpulan Blackpink, Lisa dengan gelaran ‘Lisa Blackpig’ yang digunakan sebagai watak dalam telemovienya, Delen.
Kesal dengan tindakan Janna, peminat K-Pop mula membuat ciapan dengan tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty yang sohor kini untuk dua hari berturut-turut.