Akhir-akhir ini nama Mimi Peri selalu disebut-sebut oleh netizen terutamanya di laman Instagram.
Lelaki yang terkenal dengan aksi lucu di media sosial ini telah membuat orang ramai tidak kering gusi menonton gelagatnya yang menghiburkan.
Bahkan artis-artis tempatan seperti Fizz Fairuz dan Zizan juga tidak melepaskan peluang untuk bersemuka secara live dengan watak dari Indonesia ini.
Walau bagaimanapun, bagi yang tertanya-tanya bagaimanakah Mimi Peri boleh menjadi seorang bintang di media sosial, sebenarnya terdapat kisah sedih di sebalik pencapaiannya itu.
Mimi Peri adalah watak yang direka oleh seorang lelaki Indonesia bernama Ahmad Jaelani.
Ahmad merupakan seorang pekerja buruh kasar dan akan mengambil apa sahaja kerja untuk menampung kehidupannya.
Mempunyai seorang ibu yang sangat diagungkannya bernama Siti Purwati Muslimah, dikatakan hubungan rapatnya dengan ibu adalah apa yang memberikan lelaki berusia 32 tahun ini inspirasi untuk mencipta watak Mimi Peri selepas dia berhenti kerja.
Malah, ibu Ahmad juga merupakan seorang bekas penari popular di Bali pada tahun 70an. Namun sejak kehilangan suami ketika usia anaknya 3 tahun, kehidupan mereka sekeluarga menjadi sangat susah.
Ahmad Jaelani menghasilkan penampilan sebagai Mimi Peri yang unik dan lucu untuk menghasilkan parodi watak-watak dan personaliti terkenal, sehingga dia meraih jutaan pengikut di Instagram.
Namun begitu Mimi mengakui pada mula kemunculannya ramai orang menggelarnya sebagai sampah masyarakat dan mengatakannya kurang siuman.
Tetapi dia tidak berputus asa sehinggalah orang ramai dapat menerima wataknya itu.
Biarpun Ahmad tidak mempunyai kelulusan dalam akademik, kreativiti lelaki ini berjaya membawanya jauh setelah mendapat banyak tawaran endorsement di Instagram yang membantu dia memperbaiki ekonomi keluarga.
Rata-rata netizen sebak dan tidak menyangka bahawa seseorang yang gila-gila sepertinya sebenarnya mempunyai kehidupan sebenar yang menyedihkan.