Connect with us

Semasa

Terpaksa Rebus Air Banjir Untuk Minum & Susu Anak, Mangsa Dedahkan Bekalan Air Bersih Terputus Sejak 2 Hari Lalu

Seperti yang kita sedia maklum, sering berlakunya banjir di beberapa kawasan sekitar Malaysia akibat peralihan monsun ataupun musim tengkujuh.

Iospital phone repair gombak

Ekoran itu, terdapat ramai mangsa yang terkesan akibat banjir sehinggakan mereka terpaksa buat apa sahaja demi meneruskan kehidupan mereka sewaktu dilanda banjir ini.

Menurut laporan Harian Metro, seramai 62 mangsa banjir yang berlindung di sebuah rumah di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang.

Mangsa-mangsa ini dikatakan terpaksa memasak air banjir untuk dijadikan sebagai air minuman disebabkan tiada bekalan air bersih diterima sejak dua hari yang lalu.

Difahamkan, kawasan tersebut terkepung dek semua jalan masuk ke kawasan itu ditenggelami banjir.

Oleh hal demikian, mereka terpaksa berbuat sedemikian untuk dijadikan sebagai minuman selain dijadikan juga buat susu untuk anak kecil.

Muzipah Che Muda, 54, menyatakan bahawa mereka terpaksa mengambil keputusan merebus air banjir sebelum diminum.

Tindakan ini dibuat oleh mereka selepas buntu memikirkan air minuman yang tidak sampai lagi ke tangan mereka.

Jelas Muzipah, mereka sedar bahawa tindakan itu tidak begitu baik akan tetapi sudah tiada cara lain untuk mendapatkan sumber air yang bersih.

Hal ini disebabkan ramai kanak-kanak sudah merengek dan menangis kehausan, sama seperti orang dewasa lain yang sudah tidak minum sejak beberapa jam.

“Air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

“Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

“Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya tetap digenangi banjir separas 0.5 meter,” terangnya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa bernama Mohd Yatin Mat Yaacob, 46, menjelaskan bahawa kesemua mangsa terpaksa tidur berhimpit, manakala sesetengah kumpulan lelaki pula terpaksa tidur di dalam kereta disebabkan tidak mempunyai ruang yang cukup di dalam satu rumah.

“Kami tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah terlalu ramai dan penuh. Tambahan pula, hanya rumah ini yang tidak dimasuki air di sini.

“Ada antara mangsa yang kediaman mereka hanya tinggal bumbung sahaja, namun kami reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya lagi.

Mereka juga mengambil langkah dengan menggunakan generator bagi mendapatkan bekalan elektrik terutamanya untuk mengecas telefon bimbit disebabkan bekalan elektrik sudah ditutup sejak banjir melanda di kawasan tersebut.

Continue Reading
Advertisement