Connect with us

Semasa

Tiada Sekatan Perjalanan, Boleh Balik Kampung Sempena Hari Raya Aidiladha

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tiada sekatan akan dikenakan kepada individu yang ingin pulang ke kampung.

“Sebenarnya tiada sekatan perjalanan. Sebab itu saya kata, masih boleh balik kampung, cuma perlu patuhi SOP lah. Walaupun kerajaan benarkan balik kampung, kita perlu jaga kita,” katanya ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang media hari ini.

“Saya tidak tahu kenapa ada khemah polis dan sebagainya (merujuk kepada soalan wartawan), tapi keputusan kita tiada sekatan negeri dan daerah. Mereka boleh balik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan keputusan kerajaan untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) susulan peningkatan kes baru COVID-19 di Malaysia.

Kerajaan juga memutuskan jumlah lembu atau haiwan sembelihan untuk aktiviti ibadah korban Aidiladha tahun ini tidak boleh melebihi 10 ekor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had tersebut bergantung kepada keluasan lokasi tapak penyembelihan.

“Bagaimanapun, walaupun dibenarkan melakukan sembelihan, kerajaan menggalakkan supaya melakukan sembelihan korban di rumah-rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan swasta,

“Di Jabatan Perkhidmatan Veterinar ada 28 buah pusat sembelihan, manakala swasta ada 31 buah pusat sembelihan. Jadi lebih baik digalakkan buat di pusat sembelihan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, jumlah kehadiran orang awam sewaktu ibadah korban tersebut adalah berpandukan nisbah hanya 20 orang untuk satu (1) ekor lembu (20:1), merangkumi penyembelih, tukang lapah, tukang potong daging, pengedar dan sebagainya.

Dalam pada itu, jamuan makan berkonsepkan kenduri untuk petugas-petugas sembelihan adalah tidak dibenarkan.

“Biasanya ada jamuan makan, kenduri dan sebagainya tidak dibenarkan, kecuali makanan berbungkus, petugas-petugas yang bertugas boleh makan tapi bungkus saja, tiada kenduri-kendarat,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, ibadah korban boleh dijalankan selama empat (4) hari, bermula hari pertama dan berterusan sehingga tiga hari tasyriq.

“Cuma tahun ini jatuh pada hari Jumaat, masa terhad, (jadi) digalakkan lakukan korban pada hari kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Menurut Ismail, jamuan di rumah pula tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

“Individu yang jalani kuarantin, dilarang sekali keluar rumah, tidak boleh balik kampung, tidak boleh solat sunat Aidiladha dan tidak boleh terima tetamu di rumah.

“Jika ada individu pakai gelang, orang ramai diminta lapor polis serta-merta,” jelas Ismail lagi, selain turut menyatakan aktiviti ibadah korban tersebut akan dipantau di bawah pemerhatian pihak polis.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ini terpakai di wilayah persekutuan, bagaimanapun turut boleh dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.