Penyakit misteri merupakan satu penyakit yang paling ditakuti ramai orang. Manakan tidak, kita tak tahu apa puncanya dan bagaimana cara untuk merawatnya malah ianya akan kekal menjadi tanda tanya.
Sama juga dngan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang budak lelaki dikatakan terkena penyakit misteri sehingga melakukan perkara aneh mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, Gania Shalina berkata anak sulungnya, Muhammad Haziq Irfan Hamzah, 15, merupakan seorang kanak-kanak yang ceria dan normal sehinggalah satu peristiwa aneh berlaku kira-kira tiga tahun lalu.
“Segala-galanya bermula ketika Irfan berusia 12 tahun. Ketika itu cikgu sekolah menelefon memberitahu anak saya memberontak sehingga menoreh kereta guru. Cikgu minta datang ambil dia di sekolah.”
“Masa itu saya dan suami fikir mungkin Irfan macam itu sebab masalah di sekolah, dibuli atau sebagainya.”
“Antara perubahan yang ditunjukkannya seperti sukar tidur malam, tak lalu makan tapi anehnya dia ada tenaga. Ketika memberontak, dia boleh angkat sofa, katil, boleh berlari jauh.”
“Kami ada bawa dia jumpa pakar psikiatri di hospital dan juga ikhtiar kaedah perubatan alternatif. Keadaannya elok seketika. Tapi bila masuk sekolah tahfiz ketika tingkatan 1, tak sampai dua minggu pun, ustaz minta kami bawanya pulang untuk berubat,” cerita wanita berusia 43 tahun ini.
Ibu kepada tujuh orang anak yang menetap di Pendang, Kedah ini berkata, sejak insiden berkenaan, Irfan tidak bersekolah sehingga kini ekoran situasinya tidak mengizinkan.
Dalam masa yang sama, dia dan suami tidak berputus asa ikhtiar dan mencari alternatif untuk memulihkan anaknya.
“Sebelum ini, kawan-kawan dan kenalan yang tahu dan bersimpati cuba bantu rekomen pusat rawatan. Merata-rata tempat dah pergi namun terlalu banyak versi cerita yang disampaikan kepada kami.”
“Ada yang kata Irfan ada gangguan, ada ‘benda’ yang menumpang, ada saka yang masuk, bunian nak berkawan… malah ada perawat kata Irfan mahu didampingi Wali Songo.”
“Ada juga perawat yang kata puncanya kerana Irfan terbuang air kecil di busut. Tak kurang juga ada yang kata, puncanya si polan nak sihir keluarga tapi Irfan yang terkena.”
“Jadi banyak tempat dah pergi berubat, saya sendiri tak tahu nak pegang kata-kata yang mana satu. Irfan masih belum pulih malah kerap pula berkelakuan aneh kebelakangan ini. Mungkin Allah belum izin jumpa penawar yang serasi dengannya,” katanya yang menjalankan bisnes sendiri.”
“Irfan juga boleh hafal surah Al-Baqarah dan Ar-Rahman. Dia kata belajar dekat YouTube tapi saya tak nampak pun. Banyak main game saja. Tapi bila dia baca surah itu, saya yang terkejut. Saya ada rakam dia mengaji. Perawat kata Irfan ni gifted,” katanya lagi.
Video yang tular di laman TikTok:
“Saya nak ucap jutaan terima kasih kepada semua yang perihatin. Sejak viral, mesej masuk hari-hari. Ada yang tanya keadaan Irfan dan ada yang nak bantu.
“Sebelum ini hanya kawan-kawan saja tahu, jadi apabila kongsi di TikTok, kami harap bantuan netizen kerana dah buntu. Alhamdulillah terlalu ramai yang cadang pusat rawatan… kami akan cuba satu demi satu.
“Ada juga netizen sampai sanggup buat kutipan dana bagi membiayai ustaz dari Kelantan untuk bantu rawat Irfan. Bukan itu saja, video Irfan juga viral hingga Indonesia malah ada yang tawarkan nak buat rawatan secara jarak jauh.”
“Moga-moga dengan bantuan netizen dan doa semua, ikhtiar kali ini menjadi. Sebagai ibu bapa, kami mahu buat yang terbaik untuk Irfan sebab nak tengok dia macam dulu semula… perjalanan hidupnya masih jauh,” ujarnya lagi.