Memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem Tentang Bulan, Fatin Afeefa atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah binti Shamsudin yang memegang watak sebagai Ila ini sememangnya cukup popular di platform media sosial.
Bukan sahaja kerana kecantikannya bahkan bakatnya dalam bidang nyanyian juga sering mencuri perhatian ramai.
Pun begitu, bagi siapa yang tidak tahu, pelakon ini merupakan seorang ibu tunggal dan dia juga akui statusnya sebagai janda sering dipandang rendah serta pernah menerima pelbagai tomahan oleh segelintir individu walaupun sudah lima tahun bergelar ibu tinggal.
Memetik sumber, Fatin Afeefa telah menyuarakan pendapatnya mengenai pandangan negatif orang ramai terhadap statusnya itu.
“Sejak bergelar ibu tunggal sejak lima tahun lalu, macam-macam gelaran orang beri pada saya. Secondhandlah, kereta terpakai pun ada. Siapa yang tidak sedih, walaupun sayalah wanita yang menuntut cerai tetapi orang tetap mengata mengenai saya” katanya.
Menurut pelakon ini, dia turut menyatakan perkara sebegini sering dikatakan oleh segelintir kaum lelaki yang suka merendah-rendahkan status kaum wanita. Lebih-lebih lagi wanita yang berstatus janda. Fatin lebih memilih untuk bersendirian dan bahagia bersama anak-anak.
“Selalunya orang yang mengutuk itu ialah segelintir golongan lelaki yang suka mengawal perempuan tetapi tidak dapat, sebab itu mereka merendah-rendahkan janda. Ada sesetengah wanita anggap lebih mula kekal dalam perkahwinan yang tidak bahagia daripada jadi janda. Saya memilih untuk menjadi janda sebab saya ingin kejar kebahagiaan begitu juga untuk anak-anak…”
“Tidak hina pun status janda ini dan jangan sesekali rasa sedih dengan perkara tersebut” tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, dia menyifatkan tidak mudah untuk menutup mulut sesetengah individu yang sentiasa bercakap negatif tentang hal peribadi orang lain.
“Mulut orang tak boleh tutup. Dulu pun saya sedih juga tetapi lama kelamaan saya sedar bahawa orang takkan berhenti bercakap. Jadi, buatlah apa yang buat anda gembira” ujarnya lagi.
Sekadar info, Fatin Afeefa pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali namun perkahwinan pertamanya dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu dan telah dikurniakan seorang anak lelaki Adam Aisy Arrian.
Pada tahun 2013, pelakon ini pernah bergelar isteri kepada pelakon Adam Shahz dan disahkan bercerai pada 2017. Hasil perkahwinan, mereka menimang cahaya mata perempuan Ivy Herra Sophia.